23 December 2008

Mohon maaf

Saya selalu menerima emel daripada beberapa orang kawan. Kami tak pernah berjumpa di alam yang nyata, mahupun di kelas Alam dan Manusia ataupun dalam komik Alam Perwira. Tapi internet membuatkan hubungan kami semua menjadi dekat. Antara mereka yang saya maksudkan adalah:

Dr Chikubunya Adigun (dari Nigeria):
Beliau selalu menghantar emel memaklumkan yang saya masih belum menerima wang sebanyak USD 200,000 daripada firma beliau. Sebabnya saya belum lagi menghantar maklumat peribadi saya kepada beliau.

Robert S. Mueller (dari USA)
Robert (pegawai FBI) memberi tahu yang saya akan menerima kad ATM (dengan wang sebanyak USD 11,000,000 daripada Federal Ministry of Finance tidak lama lagi. Oleh itu, beliau meminta saya menghantar maklumat peribadi saya kepada beliau secepat mungkin.

Chaliah Toure (dari Trinidad & Tobago)
Dengan penuh syahdu Chaliah menulis emel kepada saya bahawa ayahnya sedang sakit tenat. Chaliah meminta sedikit sumbangan daripada saya sebanyak (USD 2,000) bagi menumpul dana untuk tujuan perubatan ayahnya.

Itulah antara sebahagian daripada kawan-kawan yang selalu menghantar emel (bertalu-talu) kepada saya akhir-akhir ini. Ada ramai lagi sebenarnya.

Oleh itu saya rasa perlu untuk saya memohon maaf banyak-banyak kepada mereka sebab awal pagi esok saya akan ke Berlin sempena cuti panjang selama hampir 2 minggu. Oleh itu, saya mungkin tak akan membaca emel dalam tempoh tersebut. Kepada kawan-kawan di atas (dan yang sejenis dengannya), maaf la sebab saya akan mengambil masa yang agak lama untuk memberi respon kepada emel anda. Harap kalian memahami situasi saya.

p/s: Saya juga minta maaf sebab andai kalian tahu bahawa 'respon' kepada emel kalian yang saya maksudkan adalah dengan menekan butang 'delete' .

19 December 2008

Balik

Setelah 4 minggu berada di Lowestoft, pagi esok saya akan balik semula ke St Andrews.

Pembetulan: Pagi esok akan ke Leeds dulu, lusa baru meneruskan perjalanan ke St Andrews.

Terasa sekejap pula 4 minggu ni. Masa datang bulan 8 baru-baru ni, rasa 4 minggu macam 4 bulan. Mungkin sebab kali ni saya buat macam-macam kerja di CEFAS, jadi tak terasa sangat masa berlalu. Kalau dulu hari-hari dalam makmal bertemankan mikroskop. Kali ni ..ya memang ada aktiviti 'skodeng' makrofauna guna mikroskop, tapi diselang-seli (bukan Rosli) dengan belajar beberapa 'statistical analyses'. Dan yang lebih seronoknya bila baru kali ni saya faham dan tahu (boleh la sikit-sikit) mengggunakan perisian PRIMER.

Habistu, apa guna bayar £373 untuk yuran 'PRIMER workshop' bulan 11 hari tu? Entahla ..hehe ..nasib baik St Andrews yang bayar. Terima kasih ya St Andrews.

Sebenarnya memang patut pun menggunakan duit universiti sebanyak mungkin, sebab yuran yang dibayar kami, pelajar antarabangsa ..3 - 4 kali lebih mahal dari pelajar UK dan EU.

14 December 2008

Makcik Maimun Celik IT

Masih ingat dengan Makcik Maimun?

Calon parti Bebas yang bertanding semasa PRU pada bulan Mac yang lalu. Umur beliau dah pun menjangkau 89 tahun. Beliau kalah dalam pertanding tersebut. Ok ..saya tidak berhajat mengulas keputusan PRU. Tapi apa yang menarik minat saya adalah ..Makcik Maimun ada Blog sendiri! Bukan setakat blog, siap ada Picasa Album, YouTube Videos ..dan Facebook juga!

Blog Makcik Maimun

Rasanya blog beliau dah lama dilancarkan, cuma saya je baru tahu (antena pendek).

Selepas kematian Ahli Parlimen Kuala Terengganu iaitu Allahyarham Datuk Razali Ismail, satu pilihanraya kecil akan diadakan di parlimen ini tidak lama lagi. Setahu saya Makcik Maimun tak akan bertanding. Kecewa rasanya. Kalau beliau bertanding, mesti sengit kan ..lebih-lebih lagi bila ada seorang lagi calon Bebas akan bertanding di parlimen KT ni. Yang menariknya ( dan pelik juga) calon Bebas tersebut adalah seorang pemuda dari Rantau Panjang, Kelantan (saya tak pun kenal beliau).

Terfikir juga, apa agaknya faktor yang membuatkan parlimen Kuala Terengganu jadi dambaan ramai? Taman Tamaddun Islam ..atau Kelab Teluk Warisan di Pulau Duyung?

10 December 2008

LIMPAPHOBIA

Memandangkan masih berada di Lowestoft, pada mulanya saya bercadang untuk menyambut Aidiladha seorang diri. Hari Raya jatuh pada hari Isnin. Saya taknak ambil cuti. Tapi semakin dekat dengan Raya saya mengubah fikiran. Bagi tahu Keith nak cuti 1 hari. Lulus. Memang patut pun lulus selepas minggu sebelumnya saya masuk makmal hari Sabtu dan Ahad.

Saya naik 'train' ke Sheffield, untuk ke rumah Kak Raihan Hassan (hehe ..nama pun dah nak sama), senior 2 tahun masa di Sains Machang. Sebenarnya tak kenal pun dia masa di sekolah dulu. Baru kenal beberapa bulan lepas (secara maya). Inilah kelebihan blog dan facebook (bukan friendster).

Suami Kak Ann, Abe Dee jamput di stesen Sheffield. Balik rumah Kak Ann dah siap masak 'Gulai Kawah' (bukan Nasi Kawah Dewan Makan). Sungguh sedap.

Sepanjang 3 hari tersebut, sempat juga jalan-jalan di bandar Sheffield, University of Sheffield (yang tentunya lebih besar dari St Andrews), dan bandar Bradford (yang ada 2 buah atau lebih masjid besar, dan kedai makanan halal di mana-mana!).

Raya? Macam hari biasa sahaja. Bezanya ada sembahyang raya pagi tu. Tidak kelihatan walau seekor pun lembu 'ditumbangkan' di tepi-tepi jalan dalam kesejukan pagi Sheffield. Perasaan sayu tu dah tentu lah ada.

Bagi menimbulkan sedikit 'mood' Raya Haji, Kak Ann rebus perut lembu untuk makan tengah hari. Memang menjadi idea tersebut. Bau rebusan perut lembu memang sangat berkait rapat dengan suasana Raya Haji (sekurang-kurangnya di Kelantan). Nasib baik dia tak masak lauk Limpa. Ini kerana, pengalaman makan lauk Limpa Gulai setiap hari Rabu (selama 5 tahun) di Dewan Rampaisari (dewan makan) SMACH menjadi igauan ngeri saya. Fobia dengan limpa. Tapi, saya yakin bukan saya seorang yang mengalami Limpaphobia ni.

01 December 2008

Musim 'Boh'

Entri ini adalah bagi menjawab pertanyaan Dr Asyraf (pelajar sulung Sains Machang; sekarang sambung belajar di Ghent, Belgium) dalam entri AirAsia di bawah.

Jumaat lepas saya telefon mak saya guna JustVoip. Mak bagi tahu air Sungai Golok dah nak limpah, atau dalam bahasa 'standard' laporan berita .."berada pada paras bahaya". Barang-barang dalam rumah Ayah Wel dan Makcik dah diletak dalam kotak sebagai langkah berjaga-jaga untuk memudahkan kerja bila nak punggah naik ke tingkat atas.

Semalam sekali lagi saya telefon, dah 'boh' dah di Rantau Panjang. Ya ..seluruh kawasan Rantau Panjang, termasuk lah Pusat Membeli Belah Bebas Cukai (yang termasyhur). Rumah Ayah Wel dan Makcik ..pembetulan; saya lebih selesa gunakan perkataan 'rumah kami'. Sebab kami tinggal dalam satu rumah, bersama nenek (ibu kepada mak saya dan Makcik) dah penuh air, paras lutut. Sebelum tu bila Syahrin tanya, saya tengok Buletin Utama dan dah dapat agak paras air bila tengok video dalam berita tersebut. Dan ternyata telahan saya 95.38% tepat.

2 jam 8 minit yang lalu saya sekali lagi tengok Buletin Utama, dan mendapat tahu air semakin naik. Harap-harap la ia tidak akan seburuk banjir pada tahun lepas. Kalau tahun lepas, dalam rumah kami (aras 0), air paras dada (dada manusia, bukan dada itik!), dan lagi 1cm nak melimpah masuk ke aras 0.5 rumah kami. Lepas ni kena telefon lagi nampaknya.

Dah lama dah tak main air 'boh'. Rindu pulak rasanya. Kali terakhir saya sempat balik kampung masa banjir pada tahun 2002. Seksa juga tapi seronok. Memang kena balik kampung untuk main air 'boh', sebab di Kuala Terengganu jarang sangat banjir.

Tapi, baru sekejap tadi McRose (atau nama asal beliau Mek Bunga atau Membunga) meng-YM saya dengan diselangi aksi 'buzz' beberapa kali, memberitahu Kuala Terengganu juga banjir teruk. Sehinggakan UMT pun ditutup sebab banjir.

Saya terkejut campur teruja untuk mengetahui berita terkini banjir di Kelantan dan Terengganu; dan mengesampingkan sementara rasa teruja saya menunggu salji turun di bumi UK.

Walau apa pun, harap-harap tiada sebarang kejadian buruk yang berlaku semasa musim banjir ni.