29 January 2009

Tak Tahan Sejuk


Babak Akhir
Semalam terima bungkusan dari DHL. Kamera baru Canon IXUS 85 IS. Kamera digital kompak yang biasa je. Saya tak suka (baca: tak mampu) nak beli DSLR, sebab tu beli yang ni. Malas la nak guna kamera 'handphone' Nokia. Susah, walaupun kualiti gambar agak baik...(termasuk juga dalam senarai boikot Israel ni :( ..nak buat macam mana dah terbeli, lepas ni tukar lain la). Dengan ada kamera baru ni barulah rasa teruja nak ambil gambar.


West Sand dan Harbour (dekat East Sand)


St Andrews Castle



South Street dan Market Street (ni la 2 jalan utama kat sini! ..besar bukan?)


Babak Awal


Beberapa hari sebelum datang ke UK dulu, saya ke KB Mall. Beli kamera digital (kompak juga). Saya cakap kat jurujual kedai tu nak beli kamera paling murah. Dia pun bagi la 2 pilihan. Olympus dan BenQ. Kedua-dua kamera tersebut boleh rakam video pendek. Tapi Olympus tak rakam suara sekali. Jadi saya pilih BenQ.

Babak Pertengahan

Masa di Berlin bulan lepas, saya ingat kan saya je yang tak tahan dengan suhu sejuk. Kamera BenQ pun tak tahan juga. Selepas tekan butang ON/OFF beberapa kali, lensa nya keluar separuh, dan masuk balik. Kesian. Sejuk sangat agaknya. Biasala, dia pun dari Malaysia juga. Dan, bila bawa balik ke St Andrews, terus rosak. Lensa tak keluar langsung.

Penutup


Harap-harap si Canon IXUS ni tak akan kepanasan pula bila bawa balik ke Malaysia.

28 January 2009

Celaka

Maaf, tajuk entri ini mungkin agak/sangat/teramat kasar kepada sesetengah orang.

Saya mendengar siaran Era Fm tadi (jangan tanya macam mana ..tak kan la guna radio pula). Ya, saya tahu saya agak ke-Malaysia-an. Masih dengar radio dari Malaysia walaupun sekarang ni berada di UK. Masih lagi senang berkain pelikat masa kat rumah. Masih lagi makan nasi. Kalau masak mesti berasap-asap sebab selalu menggoreng. Jarang sangat guna 'oven'. Kalau makan spageti pun selalu diubah suai masakannya jadi macam mee goreng. Nak buat macam mana. Bukan jenis yang lupa asal usul (secara tiba-tiba dengar lagu Halim Yazid - Seribu Erti pula bila sebut bab asal usul)

Pasal perkataan 'celaka' tadi kan? Oh ya, dalam Era Fm tadi saya dengar lagu Seberapa Pantas nyanyian Sheila On 7. Kalau ada yang perasan, semasa korus lagu ni:

Oh sayangnya
Hanya engkaulah yang benar-benar yang aku tunggu
Hanya engkaulah yang benar-benar memahamiku
Kau pergi dan hilang ke mana pun kau suka

Dulu, perkataan "oh sayangnya" adalah sebagai ganti kepada perkataan "celaka" yang digunakan dalam versi asal lagu ni (versi Indonesia). Sebabnya, dulu "celaka" membawa maksud yang kasar di Malaysia. Tapi baru tadi saya dengar Duta menyanyikan versi Indonesia. Jadi, tertanya-tanya juga saya, adakah di Malaysia sekarang perkataan 'celaka' sekarang membawa maksud yang baik dan lembut. Sungguh, tak tahu, ketinggalan sikit dalam bahagian ni.

* Sedang terbayang, si A memanggil si B dengan nama "celaka" ..sambil tersenyum, dan si B pun membalas dengan senyum manja.

Oh ..semasa sedang menulis ayat terakhir entri ni, saya juga mendengar berita pengharaman Yoga di Indonesia....

20 January 2009

Diskriminasi di Dundee Dental Hospital ?

Semenjak menjalani rawatan Root Canal Treatment, dah 6 atau 7 kali saya ke Dundee Dental Hospital. Nasib baik la rawatan percuma. Kalau berbayar entah berapa pound dah kena bayar. Tak ada hospital atau klinik gigi kerajaan di St Andrews. Yang ada cuma klinik swasta dengan bayaran bermula dari £70 (belum masuk caj tersembunyi lagi tu). Selain faktor dimiliki oleh kerajaan, apa yang membolehkan hospital ini memberi rawatan percuma adalah kerana rawatan diberi oleh pelajar-pelajar pergigian University of Dundee. Kiranya tempat latihan praktikal mereka.

Apa yang menyebabkan saya mengatakan adanya diskriminasi di sini?

  1. Semenjak menjadi spesimen hidup kepada pelatih-pelatih di sana, saya perhatikan bahawa hampir semua pelajar adalah perempuan. Jarang sangat ada lelaki. Seperti kata pepatah Rusia, "Jika ada bau kentut muncul secara tiba-tiba, telahan anda bahawa ada perempuan (bukan lelaki) yang terkentut, adalah 99.9% betul.
  2. Hampir semua pelatih-pelatih di sana mempunyai bentuk badan yang sama. Kecil molek. Saya rasakan kebanyakan daripada mereka orang Scotland, bukan England yang mempunyai tubuh yang lebih besar. Selain itu, potongan rambut pun hampir sama.
  3. Mereka semua cantik-cantik.

Sebab itu saya mengesyaki terdapat diskriminasi di hospital ni dalam memilih pelajar untuk program pergigian. Tapi saya pasti diskriminasi macam ni ramai yang tak kisah. Lagi suka ada la. Mungkin sebab utama kerana memberi kesan positif kepada psikologi pesakit spesimen macam saya.

Nasib baik bau kentut tak muncul lagi.


16 January 2009

Genap 9 Bulan!


Hari ini genap lah 9 bulan saya berada di St Andrews. Hari ini juga saya dengan jayanya telah menyiapkan laporan 'progress' 9 bulan. Gembira sekejap. Lepas ni kena buat pembetulan (itu sudah pasti), dan selepas tu kena bersedia pula untuk 'First Year Review Meeting'.

Penat juga proses menyiapkan laporan ni (belum lagi tesis!). Tambahan pula ianya agak mengejutkan. Mana tak nya, selepas akhir tahun lepas masa saya dipenuhi dengan aktiviti sukaria di Berlin, secara tiba-tiba awal tahun ni diisi dengan kerja-kerja penulisan. Tempoh 2 minggu yang sangat intensif.

Ya, saya mengaku yang saya dengan rasminya memaklumkan kepada semua yang saya 'busy' tempoh hari. Asyik tengok kawan-kawan je yang meng-Jom-Heboh-kan ke'busy'an masing-masing dengan menggunakan status Yahoo Messengger sebagai platform. Mana boleh jadi.

Tapi, lepas ni akan tetap sibuk macam biasa juga (harapnya tidak la seperti seminggu (+3 hari) lepas). Sebabnya baru semalam sampel-sampel sedimen saya dari CEFAS telahpun sampai. Kerja-kerja seterusnya harus dirancang dengan teliti agar sampel-sampel tersebut dapat diproses secepat mungkin dan terus ke peringkat seterusnya, pengecaman macrofauna (peringkat yang menyakitkan mata dan jiwa ..huhu). Selain itu, saya masih perlu menghadiri banyak lagi kursus GRADSkills terutamanya yang melibatkan penulisan saintifik dan statistik. Tak habis-habis dengan statistik! Rasa menyesal pun ada juga sebab masa 'degree' dan master dulu tak belajar betul-betul biostatistik. Sekarang, kajian saya tidak dapat lari daripada menggunakan statistik. Padan muka.

Mujur lah saya tak diwajibkan ambil sebarang kursus/modul/kelas. Atau dengan kata lainnya, PhD dengan 'research' + 'taught course'; seperti kebanyakan rakan-rakan di US. Kalau ada kelas lagi lah bertambah sibuk (ya ke Jep, Hafiz, Murni ..et al.?). Tapi kadang-kadang terfikir juga saya, walaupun tak ada sebarang kelas, tidak bermakna buat PhD di UK boleh 'rilek-rilek' saja. Ya, memang tak ada kelas, tak ada 'exam' atau 'test'. Tapi kalau setiap minggu mesti hantar laporan ringkas atau komen berkenaan sebarang 'paper', atau juga kalau setiap kali jumpa 'supervisor' mesti diajukan macam-macam soalan ; maknanya persediaan (e.g. baca buku atau lain-lain latihan) mesti dilakukan selalu dan istiqamah (istilah Sekolah Agama la pulok!). Cuma mungkin kalau buat di UK ni lebih 'ringan bebannya' sebab tempoh minimum 3* tahun, sedangkan di US, 4 atau 5 tahun! Entahlah.

Apa yang pasti pengajian peringkat PhD sangat memenatkan walau buat kat mana-mana (malas nak ulas panjang di sini). Nak buat macam mana, dah pilih jalan ni ..kan?

Namun, syukur juga bila buat PhD ni. Banyak ilmu baru yang diperolehi. Saya tidak bermaksud semasa buat Master dulu saya tak banyak belajar ilmu baru sebab buat di Malaysia. Tidak. Sebabnya dulu semasa buat Master saya main-main dan banyak tak ikut cakap 'supervisor'; tapi kini semua sikap tu kena buang. Kena rajin dan kena paksa untuk jadi rajin!

Nota Kaki Bangku (Bukan Kaki Skodeng)

*Sekarang ni kebanyakan universiti di UK telah mengubah tempoh minimum PhD daripada 3 kepada 4 tahun. Mujurla saya untuk tempoh 3 tahun je.

05 January 2009

Orang Kelantan Tak Pandai Bahasa Inggeris?

Saya baru habis menonton filem Budak Kelantan tadi (untuk kali ke-2 ..hehe ..semangat tu).

Orang Kelantan tak pandai bahasa Inggeris ke? Berdasarkan sari kata dalam filem ini, banyak sangat yang tak tepat, dan ada yang lain terus maksudnya. Saya agak pasti pihak Astro menyuruh bukan orang Kelantan untuk menterjemah setiap dialog dalam filem Budak Kelantan. Mungkin mereka menganggap orang Kelantan lemah bahasa Inggeris (i.e BI SPM dapat C6).

Salah satu kesilapan dalam terjemahan yang membuatkan saya tergelak adalah:

Jaha: Sapa ghoyak.
diterjemah menjadi Who said that?

Sapa (sila guna sebutan baku), dalam loghat Kelantan adalah untuk Sampai. Kalau siapa kami sebut Sapo.

Walau apa pun, cerita Budak Kelantan memang menarik, terutamanya watak Jaha yang dilakonkan Sdr Asrulfaizal Kamaruzaman. Kadang-kadang saya terasa seperti menonton sebuah video spontan yang ditayangkan dalam You Tube. Jahatnya Jaha memang 'real' ..jahat. Walaupun buat baik, tapi masih lagi diakhiri dengan perbuatan jahat (menolong gadis dari kena rogol, tapi lepas tu Jaha juga yang rogol ..siap jual lagi gadis tu).

Lakonan Danny XFactor (sebagai Buchet) pula kurang berkesan bila bercakap. Tapi masa lakonan tanpa dialog bagus pula. Reaksi Buchet semasa melihat Jaha dan kawan-kawan keno geh (minum ubat batuk), dan disuruh keno geh oleh Jaha betul-betul 'real' menunjukkan watak budok ssejik yang tersepit demi menjaga hati kawan.

Perkataan-perkataan seperti Levi's bundle dan main 400 antaranya sangat sinonim dengan anak-anak muda Kelantan. Tanyalah pemuda-pemuda Kelantan, jenama jeans yang mereka sukai ..jawapannya hampir pasti Levi's. Dan menjadi satu kebanggaan kalau boleh (mampu) pakai Levi's original atau bundle. Banyak lagi sebenarnya dialog-dialog dalam filem ini yang memang kena dengan orang Kelantan.

Lagi satu yang saya suka pasal filem ini adalah penggunaan lagu dikir barat nyanyian Halim Yazid. Rasanya sudah ramai orang luar dari Kelantan yang mengenali lagu Anak Tupai, tapi tidak ramai yang tahu lagu Seribu Erti; yang bagi saya lebih 'menginsafkan' bila didengar. Tidak dinafikan, nyanyian dikir barat adalah pilihan tepat untuk menggambarkan suasana Kelantan walaupun keseluruhan filem ini di Kuala Lumpur. (Tapi sebenarnya banyak juga kawasan di Kuala Lumpur dah jadi macam kawasan Kelantan).

Klip video Anak Tupai


Klip video Seribu Erti


Sebenarnya filem ini bukan sekadar menggambarkan realiti hidup orang Kelantan sahaja. Orang yang macam Jaha ada dari Perlis sampailah ke Sabah, begitu juga orang yang macam Buchet ada di mana-mana negeri. Jadi, walaupun anda bukan anak Kelantan, tidak salah untuk menonton filem ini.

Ok lah ..esok nak tengok sekali lagi ..hahaha.

03 January 2009

Auf Wiedersehen ..Berlin


Semalam saya kembali semula ke St Andrews setelah berada di Berlin dalam 2 tahun (2008 dan 2009). Saya ke Berlin baru-baru ini adalah untuk kali yang ke-2. Setelah 2 kali ke ibu negara Jerman tersebut, saya pasti selepas ini saya akan sentiasa merindui suasana di Berlin. (Nanti saya ceritakan sebabnya pada akhir entri ini).

Sepanjang berada di Jerman, saya tidak mengambil kesempatan yang ada untuk ke kawasan lain (e.g. Munich, Hamburg dan Frankfurt). Masa saya dihabiskan di sekitar Berlin sahaja. Mungkin sebab rasa selesa berada di rumah Ayah Su, ditambah pula bila setiap hari Cik Su masak sedap-sedap (rasa macam duk kat Malaysia masa tu ..dengan Nasi Ayam, Nasi Lemak, Nasi Minyak, Laksa, Ikan singgang dan budu ...ahhh mewah!), membuatkan saya rasa malas untuk keluar lama-lama. Lagipun saya memang tidak bercadang ke bandar-bandar lain lagi. Sebab ada masa 2 tahun lebih lagi (ya ke?) untuk pusing-pusing sekitar Eropah.

Di sinilah saya tinggal semasa berada di Berlin.


Saya ingat kan jarak rumah (di St Andrews) saya ke tempat kerja dah cukup dekat. Siap berlagak dengan beberapa rakan. Tapi bila datang ke Berlin baru tahu yang Ayah Su hanya mengambil beberapa langkah untuk pergi ke pejabat. Rumah dan pejabat beliau pada aras yang sama.

Dua kali saya datang ke Berlin, kedua-duanya pada musim perayaan. Jika 3 bulan lepas semasa Ramadhan dan Aidilfitri, minggu lepas pula masa musim Krismas dan Tahun Baru. Sempat juga lah melawat beberapa tempat menarik dan bersejarah.

The Reichstag:

Bangunan parlimen republik Jerman. Saya sekadar berada di luar dan kawasan sekitar bangunan ni. Ramai sangat orang beratur nak masuk.


Gambar yang diambil adalah semasa bulan Oktober yang lalu.


Brandenburg Gate:

Brandenburg adalah simbol kekuasaan kerajaan pada zaman dahulu. Malahan Adolf Hitler sendiri pun menggunakan Brandenburg Gate sebagai melambangkan kekuatan Nazi. Selain tembok Berlin, Brandenburg juga merupakan pemisah antara Berlin Timur dan Barat.


Gambar pada bulan Januari 2009

Berlin Wall:
Tidak sah rasanya lawatan ke Berlin kalau tidak ke Tembok Berlin. Sebelum sampai di bumi Jerman, saya tidak tahu sangat pasal bangunan atau monumen lain, kecuali Tembok Berlin. Jadi, di sinilah satu-satunya tempat yang saya nak pergi bila sampai di Berlin. Tempat lain tu saya tak kisah sangat dapat pergi atau tidak. Sebelum sampai di sini, saya memang sengaja tidak mencari gambar Tembok Berlin di internet; sekadar bergantung kepada ingatan (yang ingat-ingat lupa) daripada belajar Sejarah Dunia (Tingkatan 4). Ternyata, ianya berbeza daripada apa yang saya gambarkan sebelum ini.


Gambar masa lawatan pada bulan Oktober 2008.


Checkpoint Charlie:

Satu lagi pemisah antara Berlin Timur dan Barat adalah Checkpoint Charlie. Bila datang ke sini saya dapat rasakan perbezaan suasana berbanding kawasan lain di Berlin. Sebabnya, di sini sangat terasa suasana Jerman Timur. Saya pun tak tahu nak klasifikasi macam mana suasana 'Jerman Timur' ..tapi memang ada 'feel' yang berbeza. (Kena datang sendiri kalau nak tahu).

Gambar pada Oktober 2008.


Tiegarten:

Kalau London terkenal dengan Hyde Park, rakyat Berlin pula bangga dengan Tiegarten. Kawasan taman yang sangat luas, dalam kawasan Berlin Barat. Kali pertama ke Tiegarten dulu terkejut juga sebab terserempak dengan ramai orang berjemur tanpa seurat benang pun. Tapi minggu lepas dah tak ada yang berjemur. Yang berpakaian seksi pun tak ada. Semuanya menutup aurat, lebih sopan daripada awek-awek di sekitar taman di Malaysia.


Gambar bulan Oktober 2008 dan Januari 2009


Siegessaule:

'The Victory Column' merupakan satu lagi monumen terkenal di Berlin. Menara ini dibina sebagai melambangkan kemenangan empayar Jerman dalam peperangan dengan Denmark.


Gambar bulan Oktober 2008 dan Januari 2009


Tauenzienstrasse:

Bagi yang suka membeli belah, jangan lupa melawat kawasan ni yang penuh dengan pusat membeli belah dan butik-butik jenama antarabangsa. Di sini juga terletaknya Ka De We, sebuah pusat membeli belah yang terbesar di 'Continental Europe'. (Sebenarnya banyak lagi pusat membeli belah di Malaysia yang lebih besar daripada Ka De We)


Potsdamer Platz:

Kawasan plaza ini adalah pusat bandaraya Berlin. Ianya menjadi tumpuan ramai untuk berhibur dan lepak-lepak dengan adanya Sony Center, Cinemaxx dan juga kasino (lupa pula apa namanya).


Kehidupan di Berlin agak simple dan mesra. Walaupun bandarnya besar, tapi tidak rasa serabut sepertimana yang dirasakan jika berada di London, Leeds, Glasgow atau bandar-bandar besar lain di UK. Bagi saya ini kerana jalan-jalan di sini agak luas. Jadi tidaklah terasa kesesakan trafik sangat. Ini semua kesan (baik?) daripada Perang Dingin dan Perang Dunia II yang telah menghancurkan bangunan atau dengan kata lain hampir seluruh bandar, mereka terpaksa membina semula Berlin, tapi kali ini dengan susun atur yang berbeza bilamana jarak antara bangunan diperluaskan. Hasilnya wujudlah bandar Berlin seperti sekarang.

Selain itu, antara faktor utama yang saya menyukai Berlin adalah kehidupan malam di sini yang sentiasa 'hidup'. Tanyalah kepada mana-mana orang Malaysia di UK atau di Eropah lain. Antara sebab utama yang mereka tidak suka berada di Eropah adalah kerana hampir semua kedai (termasuklah pusat membeli belah) tutup awal. Antara jam 5 petang hingga 7 malam! Tapi tidak di Berlin. Kebanyakan kedai-kedai di sini tutup pada jam 8 atau 10 malam. Inilah yang membuatkan bandarnya sentiasa nampak meriah. (Jangan bandingkan dengan KL, JB atau bandar-bandar besar di Malaysia dalam bab ni ya).

Walaupun dari segi komunikasi dengan masyarakat setempat agak sukar di sini, tapi saya tetap menyukai Berlin (sekurang-kurangnya kalau dibandingkan dengan London, sebab saya belum lagi sampai di ibukota lain di Eropah).


Nota kaki bangku (bukan kaki skodeng):

Maksud tajuk entri ini adalah "Selamat Tinggal ..Berlin