23 May 2009

Amalan Menulis Nota

Rasanya semua orang setuju dengan kenyataan bahawa menulis nota adalah amalan yang sangat bagus untuk meningkatkan daya ingatan. Tapi, tak semua orang yang rajin menulis nota. Kalau tulis pun sekadar cukup syarat. Tak lengkap. Mungkin orang perempuan lebih teliti dalam bab ini, nota yang mereka tulis memang lengkap, kemas dan warna-warni; menarik untuk dibaca.

Saya pun akui memang sangat malas untuk menulis nota. Lebih suka untuk salin (baca: fotokopi) nota dari kawan-kawan. Lebih senang. Caj pun tak la mahal sangat.

Namun, hari ini saya membuat perubahan besar dalam diri. Saya menjadi rajin menulis nota. Bukan satu, tapi beberapa nota yang lengkap dan terperinci.

..............................................

Saya akan pergi 'sampling' selama 3 minggu bermula esok. Sementara saya tiada di sini, rasanya bila-bila masa saja akan ada 'housemate' baru yang akan masuk rumah.

..............................................

Jadi, dalam kes ini, saya tak boleh fikir amalan ni sesuai untuk perempuan atau lelaki. Kerana tujuan nota-nota tersebut ditulis untuk mengelakkan makanan saya dalam peti sejuk, perkakasan seperti pinggan, mangkuk, kuali dan periuk; bercampur dengan unsur-unsur mughallazah.

16 May 2009

Beban berat yang masih dipikul

Seminar pelajar 'postgraduate' UMT - jangan ingat seminar ini diadakan di Terengganu, atau di KL, atau di Sabah mahupun di Langkawi. Sebab, seminar ini diadakan di Leeds University, UK.

Bergambar selepas keynote address


Seminar yang di'wajib'kan kepada semua staf UMT yang sedang melanjutkan pengajian di UK dan Ireland ini telah diadakan pada 12 dan 13 Mei baru-baru ini. Dimeriahkan dengan kehadiran En Ahmad Nazri Sulaiman (Pengarah, Malaysian Student Department, UK) dan juga deligasi dari UMT yang diketuai oleh Naib Canselor yang baru dilantik, Prof Aziz Deraman.

Nota: Kalau tak silap saya, Prof Aziz baru sangat dilantik menjadi NC. Bak kata orang, masa datang Leeds minggu lepas, beliau tak terima lagi elaun NC. Ya la, kalau staf kerajaan, lepas kira-kira 2 - 3 bulan baru dapat gaji. Tapi, rasanya NC terkecuali dari sistem ni.
^_^

Persiapan-persiapan akhir sehari sebelum seminar


Rata-rata peserta seminar yang datang menyatakan rasa gembira sebab selain dapat berkongsi ilmu, mereka juga dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertentang mata. Manakala, bagi pelajar yang bujang pula, lagi la gembira sebab 'makan minum terjaga' sepanjang seminar.

Bukan setakat semasa seminar, malam sebelum tu pun makan minum dah terjaga (kepada AJK je la hehe)


Seminar ini juga berjaya membuatkan peserta-peserta berasa seperti di Malaysia. Siap dengan bendera Malaysia digantung dan ada nyanyian lagu Negaraku lagi semasa acara pembukaan. Boleh la menghilangkan rasa rindu kepada kampung halaman. (walaupun ada peserta yang baru tiba di UK lebih kurang sebulan lepas ..dah rindu ke?)

Suasana semasa Welcoming Speech dan Keynote Address 1 & 2


Seperti yang saya katakan sebelum ni, seminar ini merupakan platform kepada semua peserta untuk mempertingkatkan keyakinan diri dalam membuat pembentangan kajian masing-masing. Dapat diperhatikan, rata-rata peserta menunjukkan hasil kajian yang hebat-hebat belaka. Saya rasa iri hati dengan kehebatan mereka semua. Tapi tak apa, boleh dijadikan motivasi untuk peningkatan prestasi sendiri.

Semasa 'parallel sessions'


Apabila selesai sahaja program ini, semasa bersiap untuk pulang ke St Andrews, saya bersembang sekejap dengan abang ipar Pn Noor Zaitun (Pengerusi, JK Pengelola). Baru beberapa patah perkataan saya cakap, dia terus dapat teka bahawa saya ni orang Kelantan, walhal saya dah sehabis daya cuba bercakap KL (Kay Ell). Macam mana nak menjadi 'cair' cakap Omputeh dalam masa 3 tahun, kalau cakap Kay Ell pun saya tak reti lagi walau dah lebih 20 tahun berlatih dengan gigih? Itulah, memang berganda beban yang saya pikul.

05 May 2009

Makluman: Tawaran Belajar (PhD) di St Andrews

Berita baik!

University of St Andrews menawarkan tempat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD kepada rakyat Malaysia (Rujuk www.st-andrews.ac.uk untuk senarai bidang pengajian). Namun, tiada jaminan untuk biasiswa, jadi anda disarankan untuk mendapatkan biasiswa daripada sumber lain.

Tawaran ini adalah untuk
Melayu Malaysia sahaja.

(sumber: http:rauhunt.blogspot.com)


____________________________________________________________________

Hujung minggu lepas dihabiskan dengan acara masak-masak, makan-makan, sembang-sembang, lepak-lepak di rumah Izaiddin. Mungkin itu adalah kali terakhir acara 'gathering' sedemikian diadakan di 60 Schoneihill Road, St Andrews.

Dalam seminggu dua lagi, 'housemate' saya Hafiz akan balik ('for good') ke Malaysia. Akhir bulan ini pula, Izaiddin dan famili akan pindah ke Glasgow, mungkin sehingga dia habis Master bulan 8 nanti. Maka, daripada 4 pelajar 'postgrad' Melayu yang ada di St Andrews sekarang akan tinggal 2 pada bulan Jun nanti.

Jadi, kepada Melayu Malaysia, pertimbangkanlah tawaran di atas supaya komuniti Melayu di St Andrews dapat ditambahkan secepat mungkin.