22 June 2009

Bila Diri Terasa Tidak Diperlukan Lagi




Gambar-gambar di atas adalah semasa zaman saya buat Master di bawah penyeliaan Dr Prof Sakri. Projek ini dijalankan di sekitar Pulau Bidong dan Pulau Karah. Masa ni saya boleh dikatakan sebagai orang harapan beliau. Segala perancangan dan persiapan untuk 'sampling' saya yang lakukan. Semasa 'sampling pun, saya berkerja keras dengan menjalankan pelbagai tugasan seperti membeli barang keperluan, memunggah barang2 yang sangat berat (antaranya tong gas, tangki selam, tong ais ..nasib takde tong sampah).

Selain daripada semasa projek master, semasa projek penyelidikan lain pun saya sentiasa menjadi orang harapan Prof. Walaupun tubuh tidaklah sasa seperti Malek Noor, tapi untuk tugasan yang berat khidmat saya sentiasa diperlukan. Bangga?

Gambar-gambar di bawah pula semasa baru-baru ini menyertai projek penyelidikan CEFAS di East Coast England, off North Sea. Selain daripada CEFAS, projek ini juga melibatkan beberapa lagi badan kerajaan dan swasta seperti Wessex Archeology, Sea Survey Limited, dan British Geological Survey.






Projek ini dijalankan untuk menentukan kesan 'marine dredging' keatas struktur dasar laut dan makrofauna di kawasan sekitar. Ianya dijalankan selama 21 hari. Tanpa henti. Maksud saya enjin bot tu tanpa henti. Kami yang terlibat dibahagikan kepada 2 kumpulan untuk berkerja mengikut shift. Saya diletakkan dalam shift dari 12 tgh hari - 12 tgh malam.



Kalau ikutkan waktu kerja, memang la memenatkan. Namun, memandangkan semua keperluan diberikan, ia membuatkan kami semua berasa selesa. Dari penginapan, makan minum, dobi dan internet semuanya cukup baik.


Namun, ada satu yang saya perasan tentang perbezaan semasa terlibat dalam kerja-kerja penyelidikan semasa di Malaysia dulu dan sekarang ini di UK. Saya tidak lagi menjadi orang harapan. Seolah-olah, kalau tiadanya saya tak ada siapa yang akan peduli. Sedih?

Tidak.

Kalau 'sampling' di Malaysia, bila masanya untuk menjalankan kerja-kerja berat dan akan mengotorkan pakaian, biasanya orang lelaki yang kena buat. Orang perempuan dikecualikan memandangkan mereka dianggap sebagai insan yang lemah. Tapi, perkara sebegitu tidak berlaku semasa di UK. Perempuan di sini semuanya perkasa. Mereka tidak kira, lelaki atau perempuan, semuanya bersama-sama mengangkut barang-barang berat atau membuat kerja-kerja yang akan mengotorkan pakaian.

Walaupun bukan lagi orang harapan, saya sangat gembira. Sekarang, saya rasakan betapa seronoknya bila tengok orang-orang perempuan angkut tong-tong berat. Namun, kegembiraan in bersifat sementara sahaja. Bila balik Malaysia, saya pula akan mengangkat tong-tong berat sambil melihat orang perempuan berdiri dengan tangan berpeluk tubuh, kepala terteleng sedikit ke kanan, dan sambil 'control' ayu agar baju kurung berlabuci yang dipakainya tidak kotor.

13 June 2009

Maaf, tiada perkongsian resipi di sini

Baru perasan yang saya telah 3 kali ke London sepanjang berada di bumi British ni. Satu kekerapan yang tinggi juga memandangkan jarak kota yang namanya tertera di kotak rokok Dunhill dengan St Andrews lebih 500 batu.


Kali pertama dan ke-2 ke London, tempat pertama yang saya tuju tentu sekali Malaysian Hall. Tujuannya tentu sekali untuk makan makanan Malaysia. Masa tu tak tahu pun ada pilihan lain selain daripada kantin di dewan yang terletak berdekatan Royal Albert Hall ini.


Semasa kali ke-3 ke London (bersama adik dan sepupu saya); hari pertama masih lagi makan di Malaysian Hall. Namun, pada hari ke-2 baru saya tahu ada pilihan lain.

Dari Trafalguar Square, selepas bergambar-gambar dan memberi makan kepada beberapa ekor (2 ekor je sebenarnya) merpati (seperti aksi yang dapat dilihat dalam drama Cinta Antara Benua); perancangan asal, kami nak ke Bonda Cafe. Kena naik 'tube'. Namun, memandangkan kesuntukan masa, kami jalan-jalan untuk mencari kedai makan di kawasan sekitar. Kebetulan, kami terjumpa kedai makanan China yang Halal. Rasanya tak perlu diberitahu yang mana lebih sedap bila kami sepakat mengatakan kalau hari pertama pun boleh makan di sini (kedai China tersebut) lagi bagus.

Berbalik kepada Bonda Cafe tadi. Kami tak sempat ke sana. Tapi takpe, yang penting saya dah tahu lokasinya. Dan lepas ni, kalau ke London lagi, saya pasti makan di Bonda Cafe. Menurut kata makcik saya (orang Terengganu) dan kawan saya (orang Johor dan Selangor), makanan di Bonda Cafe lagi sedap daripada di Malaysian Hall. Tauke dan tukang masaknya adalah dari negeri yang memang dah saya agak dah. Hmm patutlah sedap.

04 June 2009

Masyarakat UK perlukan pendedahan tentang ICT

Setelah agak lama (walaupun baru setahun je sebenarnya) berada di UK, dan juga melalui penelitian dan pengalaman yang dilalui; terdapat satu perkara yang saya sangat berharap Malaysia juga akan mencapai tahap sebaik di UK. Pengangkutan Awam.

Di Malaysia, jika tidak mempunyai kenderaan sendiri, teramat sukar untuk ke mana-mana. Pengangkutan awam tidak boleh diharap sangat.

Saya masih ingat lagi semasa belajar di UPMT (nama UMT pada masa tersebut, tahun 1999), terdapat beberapa kawan saya yang beriya-iya hendak ke Kuala Terengganu. Mereka berjalan kaki 800 meter ke pintu pagar utama untuk naik bas. Setelah hampir 2 jam menunggu, bas tak kunjung tiba. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk balik semula ke asrama dengan perasaan marah kepada bas Intan tak Unggul dan Chandana kerana tidak menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

Namun, di UK, sistem pengangkutan awam mereka sangat efisien. Walau di ceruk mana berada, bas sentiasa ada; dan dengan kekerapan yang agak tinggi. Bas-bas mereka juga 'on time'. Walaupun penumpang hanya 2 orang, mereka tetap jalan, tanpa menunggu penumpang memenuhi tangga bas.

Begitu juga dengan sistem keretapi. Semuanya bersambung ke seluruh UK. Walaupun terdapat beberapa syarikat keretapi, tapi kita boleh membeli tiket di satu tempat sahaja. Sebagai contoh, untuk perjalanan saya dari St Andrews ke Lowestoft, saya naik keretapi First Scotrail, National Express, dan East Anglia Express. Apa yang menariknya, saya hanya perlu beli tiket melalui (secara 'online') National Express, dan ianya merangkumi semua tiket.


Menyentuh tentang laman web, saya akui kita di Malaysia masih ketinggalan dalam hal ini. Di UK, hampir semua bisnes mempunyai laman web sendiri. Dari hotel mewah ke asrama bajet, dari restoran ke kedai-kedai makan yang murah pun ada laman web.

Bulan lepas, semasa adik dan sepupu saya datang ke Scotland, saya sempat membawa mereka ke sebuah kedai Fish & Chips yang tersohor di Scotland, dan mungkin juga di seluruh UK berdasarkan apa yang mereka iklankan. Sempena lokasinya, kedai ini dinamakan Anstruther Fish Bar.


Seperti biasa, sebelum ke mana-mana, saya merancang perjalanan dengan mendapatkan maklumat bas untuk ke restoran tersebut. Membaca 'review' daripada pelanggan-pelanggan, dan juga melihat terlebih dahulu menu-menu. Semuanya dilakukan dengan menggunakan internet. Selepas itu, barulah kami ke sana dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menikmati Fish & Chips yang kononnya sangat sedap.

Namun, bila menikmatinya, amatlah hampa perasaan kami sebab semuanya indah khabar dari rupa. Ikannya tawar (orang Kelantan kata Tawa Hhebbey). Rasa tak berbaloi perjalanan kami selama 50 minit (pergi dan balik) untuk menikmati ikan yang macam ni.

Itulah sebabnya saya rasa, walaupun mereka mempunyai teknologi yang agak terkehadapan berbanding Malaysia, tetapi mereka masih perlu diberi pendedahan tentang ICT, iaitu Ikan Celup Tepung.



Suruh mereka ke Batu Rakit atau Teluk Ketapang, barulah mereka tahu erti ICT yang sebenarnya.

Moral: Tidak semua benda di UK lebih baik dari Malaysia. Jadi, berbanggalah menjadi rakyat Malaysia!