13 July 2009

Kerja Sambilan

Semasa bercuti di Malaysia, perasaan saya untuk kerja sambilan di Scotland semakin membuak-buak. Tapi, saya abaikan dahulu keinginan tersebut. Fokus sekarang untuk menikmati cuti.

Banyak aktiviti yang dilakukan bagi memenuhi masa 24 jam sehari (Makan dan tidur pun dikira aktiviti juga). Salah satunya adalah menghadiri majlis tahlil baru-baru ini.

Bercakap tentang majlis tahlil, ada 1 perkara yang membuatkan saya hairan dan juga kesal. Apabila tibanya masa untuk makan, kebanyakan orang atau jemaah yang pada mulanya bermuka sayu dan sedih, bertukar menjadi agresif; seolah-olah seperti mereka berada di sebuah restoran. Mereka melaung-laung bila air sirap atau teh O lambat sampai atau bila nasi tambah lambat sampai. Saya terfikir, mungkin mereka merasakan mereka ada hak sebab mereka dah 'bayar' semasa menziarahi keluarga si mati.

Tapi tidak semua yang bersikap begitu. Terdapat juga mereka yang memberi peluang untuk orang lain makan dahulu. Bagi mereka, kalau makanan dah habis, tak jadi masalah. Sebab mereka datang bukanlah dengan tujuan utama untuk makan.

Contohnya seperti pakcik ni (gambar bawah). Saya suka melihat gelagatnya yang tenang. Beliau memberi peluang kepada orang lain dahulu untuk menikmati jamuan.


Namun, bila lama-lama melihat pakcik ni, terbit rasa dengki di hati saya. Pakcik ni mampu memakai kaca mata jenama Gucci, sedangkan saya tidak. Sudah berkali-kali saya memegang barang-barang jenama seperti Gucci, Hugo Boss, Ralph Lauren, Paul Smith atau Prada. Tetapi terpaksa diletak semula atas rak pusat membeli belah Giant Harrods kerana tak mampu.

Kini, kemampuan pakcik tersebut membuatkan perasaan saya untuk kerja sambilan di St Andrews kembali membuak-buak. Sehinggakan mengganggu fokus saya untuk menikmati musim durian.

03 July 2009

Bukankah tolong menolong itu amalan mulia?

Najib: Harga minyak global akan naik lagi.. bacaan lanjut di sini


Syarikat-syarikat pengangkutan pasti akan berasa tidak selesa dengan kenyataan ini.

Jadi, sebagai rakyat Malaysia yang sangat patriotik, saya akan cuba mengurangkan sedikit rasa ketidakselesaan salah satu syarikat pengangkutan nasional iaitu MAS. Apa yang saya boleh bantu adalah dengan mengurangkan sedikit barangan untuk di bawa balik. Bila muatan kurang, jimat la sedikit penggunaan bahan api oleh pesawat MAS.


Datuk Idris Jala pasti akan gembira dengan sifat penumpang yang macam saya.

Sebaliknya,
mungkin ada rakan-rakan yang kecewa bila hak mereka untuk mendapat cenderahati dari Scotland dinafikan. Namun, hati kecil saya berkata mereka pasti tidak kisah dengan cenderahati. Apa yang lebih penting adalah nilai persahabatan.