31 August 2009

Tiket Kelas Ekonomi Pun Ada Kebaikannya

Mungkin mereka nak ambil hati Malaysia agaknya, sampai ulang tahun kemerdekaan Malaysia pun mereka sambut (walaupun secara tak langsung)

Pagi tadi saya buka laman web Bing (bagi yang tak tahu, Bing adalah enjin carian baru keluaran Microsoft) versi UK. Rasa teruja bila melihat muka depan laman ini membuat paparan khas Malaysia sempena 31 Ogos.

Gambar - Jambatan gantung Langkawi

Bila rakan di 'lab' perasan keterujaan saya, saya pun terus ambil kesempatan untuk bercerita tentang Malaysia. Merangkumi topik yang pelbagai; dari Sejarah, Sosial, Budaya dan juga Keindahan Alam di Malaysia (dengan penekanan diberikan kepada Kelantan). Siap tunjuk-tunjuk gambar. Saya tidak sentuh langsung tentang topik-topik panas dalam Malaysiakini. Jadi, mereka semua menunjukkan reaksi 'wow'. Mereka menyatakan rasa minat (harap-harap reaksi mereka jujur) untuk melancong ke Malaysia satu hari nanti.

Kalaulah fasilitator yang terlibat dalam Kursus BTN PhD/Master Luar Negara (KAO-H0215-08) di Kem Ulu Kenas dulu tahu apa yang telah lakukan, tentu mereka berasa bangga. Tidak sia-sia usaha mereka menerapkan minda patriotik dalam diri saya. Tak sia-sia juga, tiket penerbangan pergi-balik MAS (walaupun kelas ekonomi saja) yang kerajaan (atau UMT) tanggung untuk saya ke kursus tersebut 2 tahun dulu.

Selamat Hari Ulang Tahun Kemerdekaan, Malaysia

30 August 2009

Lembab dan Basah

Semalam, buat pertama kalinya saya sempat ke Masjid Dundee dalam bulan Ramadhan tahun ni untuk, 1) berbuka puasa, 2) bertadarus, dan 3) bertarawikh.
(Nota: Susunan tidak mengikut keutamaan penulis)

Alhamdu lillah. Bila berada di kalangan rakan-rakan Muslim yang ramai macam ni barulah rasa suasana puasa. Berbuka ramai-ramai. Boleh mendengar orang mengaji Al-Quraan, bertarawikh dan juga tadarus (Sebenarnya orang Malaysia saja yang bertadarus, rakan-rakan Muslim dari negara lain masing-masing mengaji secara solo). Tentang sembahyang tarawikh pula lebih kurang sama dengan di Malaysia. Mereka buat 20 rakaat di sini. Tapi selepas 8 rakaat, dah ada sebilangan (termasuk saya) yang berhenti.

Tentang makanan pula, apa yang menarik perhatian saya adalah orang di sini tidak kisah tentang 'presentation' dalam menghidangkan makanan. Asalkan boleh makan, sudah cukup bagi mereka. Beberapa orang yang ditugaskan dalam penyediaan makanan main 'hentam' sahaja, siap campak-campak (atau tabur-tabur) lagi makanan seperti kurma, pisang dan pakora; kecuali nasi sahaja yang dibubuh elok dalam pinggan polisterin.




Saya terfikir, di Malaysia kita tak boleh buat macam ni. Kebanyakan kuih kita lembab dan basah. Siapa yang nak makan, kalau ada yang pegang kuih dengan tangan (biasanya berpeluh dan melekit sebab cuaca panas), dan campakkan atas alas seperti yang orang Dundee buat. Silap-silap akan ada Akok atau Pisang Sira yang melekat di muka akibat 'serangan balas'.

22 August 2009

Salam Ramadhan

Saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan kepada semua. Semoga Ramadhan kali ini membawa lebih keberkatan.


Tahun ni merupakan kali ke-2 saya menyambut Ramadhan di perantauan. Sedih juga. Tapi nak buat macam mana, dah tanggungjawab. Lagipun dah lebih 20 tahun sambut Ramadhan di Malaysia (Sungai Golok pun dikira sebagai Malaysia dalam konteks entri ini). Jadi, apa salahnya sesekali sambut di negara lain.

Perbezaan antara Ramadhan di Malaysia dan di UK, tak payah cakap ..memang banyak. Di sini tak ada Bazar Ramadhan. Tak ada bunyi orang main mercun. Tak ada Nek Bat, Jala Mas, Buah Tanjung, Puteri Mandi aka Kepek Hidung, Lompat Tikam dan juga Murtabak Diraja (sekadar menyebut beberapa nama makanan tipikal di Kelantan). Dan yang paling berbeza sekarang adalah masa.
Masa puasa di sini lebih lama berbanding di Malaysia. Sebagai contoh hari ni, Subuh jam 3.02 pagi dan Maghrib jam 8.33 mlm.

Mungkin sebab itulah saya dengar ramai kawan yang mengambil kesempatan untuk balik ke Malaysia bulan 9 sebab tak tahan dengan puasa yang lama.
Bagi saya itu bukan masalah besar. Bukannya lama sangat pun tambah masa.

Namun, bila mula berpuasa pada hari ni. Saya terpaksa mengakui yang saya juga berharap Ramadhan jatuh pada musim malam panjang iaitu musim sejuk.

Sebabnya, pada musim sejuk, tak ada anak gadis yang berbikini di tepi pantai seperti yang saya lihat tengah hari tadi. Dan, pada musim sejuk juga, rakan-rakan di makmal semuanya memakai pakaian yang sopan, dengan 'jumper' atau 'sweater' yang tidak menampakkan bentuk tubuh. Tidak seperti sekarang, mereka pakai t-shirt ketat dan singkat yang mana bila mereka tunduk untuk mengambil barang dalam laci, maka ternampaklah apa yang sepatutnya
(memang sepatutnya la kan, sebab pakai macam tu).

Lebih 'senang' rasanya kalau puasa pada musim sejuk.

14 August 2009

Menyelami Pemikiran Tun Dr Mahathir


Perdana Menteri Malaysia ke-4 iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad diakui ramai sebagai seorang pemikir yang hebat. Kata-kata beliau sentiasa menjadi rujukan, dan selalu dibincangkan, sama ada di parlimen atau di kedai kopi atau juga di pejabat (tapi jarang di pejabat yang majoritinya perempuan, kerana di situ agenda jualan kuih raya, tudung bawal atau Nur Kasih atau Aqsa dan Madina lebih menarik perhatian).

Ayat-ayat yang terpacul keluar dari mulut Tun sentiasa bernas (bukan Beras Nasional la) dan memberi pengertian yang mendalam.

Secara peribadinya bagi saya, kata-kata hikmat dari Tun M yang masih segar sehingga kini (selain 'Apa Nama') adalah sajak yang beliau deklamasikan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2001, yang bertajuk Melayu Mudah Lupa. Ayat-ayatnya tidak lah puitis, tapi memberi maksud yang cukup jelas untuk kesedaran orang Melayu.

Apa yang berlaku ke atas diri saya semalam, membuatkan saya teringat kembali akan puisi Tun M ini.

Saya pulang ke rumah, dari makmal pada jam 11.30 malam (
waktu sengaja dilewatkan untuk menunjukkan saya ni balik rumah lewat ..maklum la, orang rajin). Bila buka pintu rumah, saya ternampak beberapa keping tiket TOTO (toto yang judi tu, bukan Toto Narita) atas meja di dapur. Memang sah, rakan serumah saya yang beli benda ni. Saya rasa sedih dan bercampur geram. Ya lah, kalau nak buat benda tak baik pun, jangan la tunjuk sangat. Tak fikir dosa ke dia ni. Saya dah fikir macam nak menjauhkan diri daripada dia dan nak 'sound direct' je. Panas hati menengoknya. Tapi..

Beberapa minit kemudian, saya dengar bunyi orang buka pintu. Saya nampak Fergus masuk.

Hmm memang betul la apa yang Tun Mahathir kata, Melayu Mudah Lupa. Saya lupa yang si Fergus ni bukan Muslim. Apa dia tahu/kisah pasal dosa dan pahala. Kan?

04 August 2009

Lawatan ke China?

Semasa balik ke Malaysia tempoh hari. Selain daripada menegur perubahan fizikal dan warna rambut kulit saya, ramai kawan yang cakap saya ni kuat berjalan-jalan atau orang Kelantan kata 'kuat ddeghak' (saya tak mahu tulis apa yang orang Terengganu cakap, lain pula maksudnya).

Saya tanya, "Tahu kat mana?"
Mereka kata, "Kat blog mu la"

Sebenarnya mereka salah anggap. Takpa, saya tak kisah dan tak marah pun. Sekurang-kurangnya saya tahu ada orang baca blog ni walaupun tiada kata kunci seperti porno, seks atau Melayu Boleh.

Untuk pengetahuan semua, gambar dan berita pasal saya 'gi ddeghak' (sekali lagi taknak sebut versi Terengganu) dalam blog ni sengaja dibesar-besarkan. Memang ada yang saya betul-betul 'ddeghak', iaitu ke Berlin, Paris dan London (eh, banyak juga tu). Yang lain-lain tu adalah tempat singgahan semasa urusan kerja (Phd atau UMT), dan aktiviti harian dekat-dekat rumah.

Contoh 1:
Di UK, aktiviti ke kedai beli Fish & Chips pun boleh dijadikan berita bergambar. Namun, kalau di Malaysia, tak ramai yang akan ambil gambar semasa membeli nasi berlauk untuk makan pagi di Kedai Makan Mok Ku.

Contoh 2:
Di UK, kalau pergi ke Stadium Old Trafford (sila jangan dengki!) pun boleh dijadikan berita bergambar. Namun, kalau di Malaysia, tak ramai yang akan ambil gambar kalau mereka ke Stadium Sultan Mohammad IV di Kota Bharu. Kecuali di Stadium Sultan Mizan, tu pun atas 2 sebab, iaitu sebab stadium baru dan juga stadium baru ..baru runtuh.

Itulah tabiat kebanyakan orang yang berada di luar negara. Disebabkan perasaan bangga yang teramat boleh berada di negara orang, benda-benda biasa pun dibesar-besarkan. Seperti contoh, rumput di depan rumah di UK pun diambil gambar. Padahal sebelum ni tak pernah pun ambil gambar Bunga Tahi Ayam semasa di Malaysia.

Tapi, saya tak la seteruk tu. Saya ada juga ambil gambar semasa balik ke Malaysia tempoh hari untuk diletakkan dalam blog ni (meski sekadar untuk mengelakkan diri dari dikutuk oleh Kuzak).

Buktinya, gambar paling atas tu adalah gambar Masjid Rantau Panjang, Kelantan (yang mana gambarnya diambil menggunakan kamera bukan DSLR saya), bukannya masjid di negara China, nok royat bui.