30 May 2010

Lupa daratan

Corat-coret BBQ & Sukaneka KMD:


Acara pada minggu lepas dihadiri lebih kurang 80 orang rakyat Malaysia dari St Andrews dan Dundee. Mengikut buku rekod, ini merupakan perkumpulan yang paling ramai di St Andrews.



Orang-orang Scotland yang ada di situ pada masa tu pun terkejut. Mereka terasa macam berada di negara asing pula bila dikelilingi oleh orang-orang yang tidak cakap bahasa Inggeris dalam kumpulan yang sangat besar.


Memandangkan bukan di negara sendiri, dan peralatan tak cukup, kerusi, atau tempat lapik kaki kanak2 semasa guna tandas pun boleh dijadikan peralatan dalam rebut kerusi.

Diberitakan ada beberapa orang dewasa yang mengambil bahagian acara rebut kerusi ni yang mengalami sakit2 otot kesan daripada hentakan semasa duduk atas 'kerusi' tersebut.


Memandangkan St Andrews ni adalah 'Home of Golf', maka acara lari bawa telur dalam sudu telah ditukar kepada bawa bola golf. Orang Kelate kata ..hilirrrrr

Terdapat beberapa kanak-kanak yang 'lemas' semasa acara kutip strawberi dalam air. Acara ni mungkin akan dimansuhkan untuk tahun-tahun mendatang.


Selain acara rebut kerusi, acara lari kaki tiga pun menjadi tarikan. Sepatutnya acara dewasa sahaja, tapi kanak-kanak pun berebut nak turut serta, sehinggakan penganjur kena buat beberapa saringan sebelum masuk peringkat akhir.

Kerana terlalu asyik bersukaneka, banyak makanan yang lebih. Ayam sahaja ada lebih kurang 8 kilo yang masih belum dibakar. Tapi semuanya tak dibazirkan.


Mungkin bagi sesetengah orang perempuan. Penggunaan payung kadang-kala adalah untuk gaya semata, walaupun tidak lah terlalu panas. Tapi bagi kanak-kanak perempuan di atas, penggunaan payung bukanlah untuk tujuan gaya atau nak 'control ayu', tapi sebab panas sungguh. Diberitakan, suhu pada hari tersebut adalah sekitar 28-32 C.

Bercerita pasal suhu, sangat jarang sebenarnya suhu di Scotland macam tu. Mungkin suhu sebegitu seolah-olah memberi peringatan kepada orang-orang Malaysia bahawa macam ni lah suhu di Malaysia bila kita balik nanti. Jadi, jangan la pula buat-buat terkejut dan lupa daratan kata tak biasa.

16 May 2010

Tarik Balik

Keputusan kerajaan untuk menarik balik perlantikan terus pegawai akademik yang dapat PdD ke gred DS51 / DS52 telah menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pegawai-pegawai yang akan terbabit. Siapa tak marah, kalau diberikan peluang mesti lah nak gaji lebih. Tapi, ada juga yang cakap, perlantikan terus tersebut agak tidak patut. Bagi mereka, untuk mencapai gred tersebut perlulah berkhidmat untuk sesuatu tempoh yang agak lama. Mana boleh bila dapat PhD je terus ke DS51. Agak tidak adil kepada pensyarah yang bertahun-tahun berada di gred DS45 hanya kerana tak ada PhD.


Aku rasa ada betulnya juga. Namun, aku rasa kerajaan mungkin dalam dilema sekarang sebab penarikan balik ni telah menimbulkan rasa kecewa kepada beribu-ribu atau berpuluh ribu pegawai akademik yang sedang atau akan sambung PhD. Tapi, kalau diteruskan juga skim ini, nanti akan membuatkan pegawai senior di gred DS45 pula yang tak puas hati.


Entahlah, kita sama-sama nantikan keputusannya. Dalam masa terdekat ini, akan diadakan perbincangan antara wakil KPT dengan wakil Felo/Tutor/Pensyarah yang terjejas dengan dengan keputusan penarikan balik ini. Susah nak puaskan hati 2 pihak yang mewakili 2 kumpulan yang sangat ramai.



Walau apa pun, aku tertanya, tak terfikir ke oleh kerajaan atau mereka yang bertanggungjawab untuk tarik balik gelaran Datuk kepada Lee Chong Wei. Mungkin gelaran sedemikian membuatkan beliau rasa tertekan, dan sebab itulah asyik kalah je kalau main lawan Lin Dan (yang takde Datuk pun). Lagipun, kalau tarik balik gelaran daripada Lee Chong Wei, pihak yang tak puas hati mungkin tak seramai kumpulan pensyarah di atas.


Nota kaki bangku (bukan kaki skodeng):

Tapi aku rasa syukur dan bertuah memandangkan Naib Canselor UMT telah memberi jaminan bahawa penarikan balik tersebut tak akan dilaksanakan di UMT. Jadi, sila mohon jawatan kosong di UMT sekarang!

10 May 2010

Kekuatan Jati Diri


Kesan daripada 'volcanic ash' dari Iceland baru-baru ini tidak semestinya sesuatu yang buruk kepada semua orang. Ada juga baiknya kejadian tersebut.

Sebagai contoh, kerana debu gunung berapi tersebut, pemergian aku ke London atas urusan rasmi/akademik telah bertukar menjadi urusan jalan-jalan makan angin. Biological Diversity Meeting telah dibatalkan pada saat-saat akhir, namun semasa mereka hantar emel makluman, aku telah pun memulakan perjalanan. Bak kata pepatah Scotland purba, "Terlajak perahu boleh undur, terlajak train tak boleh undur dah".

Ramai nya manusia yang 'tertipu'
Oleh kerana ada 2 hari 'free' di London, jadi aku ambil kesempatan untuk pusing-pusing di sini. Salah satu tempat yang aku pergi adalah istana Buckingham untuk tengok upacara 'Changing the Guard'. Kepada sesiapa yang bercadang untuk pergi ke sini, aku nasihatkan tak perlu lah. Sebabnya upacara ni bukanlah hebat sangat. Acara pertabalan Agong di Malaysia jauh lagi hebat. Ya, mungkin sebab acara pertabalan Agong adalah acara tahunan, manakala acara Guard Changing ni acara harian. Namun, sikap orang di sini yang selalu yakin untuk mempromosikan identiti negara mereka membuatkan ramai yang berkobar-kobar untuk menonton, walaupun sebuah acara yang sangat sederhana.


Acara yang biasa-biasa, tapi kalau kena dengan promosi boleh jadi 'grand'

Brass band sekolah mana ni? Sains Machang punya Band lagi bagus.




"Apa gunanya ada telefon kalau tak guna, kan?"
Setiap kali mesej baru masuk, pakcik ni terus 'delete'.
Namun, semasa berada di sini, aku telah sedar tentang satu perkara yang penting kepada kita semua; iaitu JATI DIRI. Dalam berhimpit-himpit, aku sempat memerhatikan gelagat seorang pakcik dari Sepanyol dengan telefon bimbit beliau, iaitu NOKIA 3310. Aku tabik dengan pakcik ni, di kala kebanyakan orang dah pakai telefon dengan skrin berwarna, dia masih lagi setia dengan NOKIA 3310. Dan, dia juga dengan penuh yakin guna telefon tu di tengah-tengah orang ramai. Pada 
waktu tu, dialah orang yang paling aktif guna telefon. Tiga-empat kali bermesej dan menelefon dalam masa seminit!






02 May 2010

Katakan Tidak kepada Conservative

Tinggal beberapa hari lagi menjelang pilihanraya umum UK. Parti-parti politik semakin hari semakin giat menjalankan kempen untuk menarik pengundi memilih mereka. Mungkin kerana terlalu ghairah mencari undi, sampaikan rakyat asing macam aku pen sudah beberapa kali menerima panggilan telefon dan surat daripada perayu undi.

Dalam pilihanraya kali ini, terdapat 3 parti utama yang berebut takhta untuk mentadbir Britain. Parti-parti ini adalah Labour pimpinan Gordon Brown (Perdana Menteri sekarang); Conservative pimpinan David Cameron; dan Liberal Democratic pimpinan Nick Clegg.

Melalui pemerhatian kasar aku, dan juga setelah beberapa kali siri 'prime ministerial debates', aku masih samar-samar dalam memilih parti mana yang terbaik untuk menerajui Britain. Namun, kepada rakyat Malaysia yang berada di sini, atau rakyat Malaysia yang bercadang untuk melawat UK, aku menyeru agar 'katakan tidak kepada conservative'!!

Kajian kes

Kebanyakan rakyat Malaysia, bila melawat London selalu berfikiran 'conservative'. Mereka (termasuk juga aku, sebelum ni) selalu ke Malaysian Hall untuk dua tujuan utama iaitu makan dan penginapan. Namun, tanpa mereka ketahui, sebenarnya ada lagi tempat lain yang lebih bagus untuk menginap dan makan berdasarkan kepada kriteria utama iaitu layanan, dan makanan yang lebih sedap.

Aku pun antara orang yang berfikiran 'conservative' bila ke London sebelum ini. Tempat pertama yang dituju bila mencari penginapan dan juga makan adalah Malaysian Hall, walaupun dah 2 kali mengalami perasaan sakit hati kerana layanan mereka yang hampeh. Sebagai contoh, kalau berhubung melalui telefon pihak asrama di Malaysian Hall, makcik yang berurusan selalunya cakap kasar dan sombong, ditambah lagi dengan kata-kata menyindir mereka untuk menggambarkan bahawa mereka adalah orang London-konon. Lagipun, mereka tiada toleransi langsung kalau nak 'check-in' lewat sikit daripada waktu yang ditetapkan. Begitu juga dengan kantin Malaysian Hall. Makcik dan pakcik yang kerja di situ juga cakap kasar dan ada je nak main kias-kias yang menyakitkan hati.

Tapi, 2 minggu lepas, aku ambil keputusan untuk 'menentang arus'. Aku menginap di Mara House. Memang bilik di sini tak sehebat Malaysian Hall, tapi sekurung-kurangnya hati aku gembira sebab layanan mereka baik. Cakap pun sopan dan tiada unsur nak menunjuk-nunjuk yang mereka tu orang London. Aku 'check-in' pun lewat daripada waktu normal, dan mereka boleh je tunggu aku sampai. Harga penginapan 2 pound lebih mahal daripada Malaysian Hall, tapi aku tak kisah!

Untuk makan pula, aku makan di Bonda Cafe (bawah Mara House) yang jauh (jauh jela') lebih sedap daripada di kantin Malaysian Hall. Aku juga mengisi perut aku dengan makanan Malaysia di Makan Cafe (Portobello Road); yang juga jauh lebih sedap daripada kantin Malaysian Hall. Dan, kedua-dua kafe ni bebas daripada kata-kata sinis dan berlagak seperti yang aku dengar di kantin Malaysian Hall. Harga pun lebih kurang je dengan di kantin tu!

Aku sekadar memberi pandangan berdasarkan pengalaman sendiri. Aku dah berubah. Anda bila lagi?? Pilihlah dengan bijak kerana keputusan di tangan anda.