14 November 2009

Terima Kasih Tuan Guru Nik Aziz


Kekalahan pasukan bola sepak Kelantan dalam Piala Malaysia telah pun seminggu berlalu. Cerita tentang perlawanan tersebut sudah jarang kedengaran lagi. Tapi, bagi sesetengah orang, keperitan masih lagi dirasai.


Semasa Ayah Su dan Cik Su datang tempoh hari, kami pun tak cakap banyak pasal bola ni. Banyak lagi topik lain yang lebih menarik untuk diperkatakan, jadi buat apa sembang pasal bola (atau, mungkin bila Cik Su, orang Terengganu cuba sembang pasal bola, saya dan Ayah Su cuba ubah topik kerana panas telinga).

Ayah Su dan Cik Su datang 2 malam sahaja ke Scotland baru-baru ini. Jadi, tak lah banyak sangat tempat yang boleh pergi, lebih-lebih lagi sekarang ni matahari terbenam jam 4.30 petang. Pukul 5 lebih dah gelap gelita dah.

Kami sempat pergi ke Loch Lomond, iaitu tasik yang terbesar di Britain. Saya sewa kereta Mercezez Benz C200 Kompressor (sekadar nama hiasan). Buat pertama kali memandu di UK, dan apa yang dapat simpulkan adalah:


Loch Lomond

Jalan di Malaysia jauh lagi baik, terutamanya keluasan jalan dan kemudahan papan tanda, dan juga lampu jalan. Cuma kelebihan di sini sebab tak ada tol langsung (kelebihan yang bagi markah tinggi ni!).

Hari ke-2, kami jalan-jalan sekitar St Andrews. Seperti orang lain juga, kedatangan ke St Andrews tidak sah kalau tak ke Old Course, yang merupakan tempat kelahiran golf (orang Britain ni semua benda mereka kata mereka yang cipta dulu).

Kalau sebelum ni, saya dah mula rasa bosan berjalan sekitar St Andrews, tapi baru-baru ni semasa dengan pakcik dan makcik saya, rasa macam 'best' pula. Sebabnya, ke mana saja kami pergi ada je orang-orang Scotland yang menegur. Mungkin mereka dapat cam pelancong. Saya terfikir, selama ni takde pulak mereka tegur saya. Mungkin kah mereka ingat saya ni pun penduduk tempatan (faktor warna kulit? ...terima kasih Fair & Lovely).


St Andrews

Walaupun lawatan mereka agak singkat, tapi tetap rasa puas hati. Biasa la, sapa tak suka ahli keluarga datang melawat ..kan?

Jadi terima kasih kepada Tuan Guru Nik Aziz kerana memberi cuti (hari Ahad) kepada semua rakyat Kelantan tempoh hari tanpa mengira Kelantan menang atau kalah perlawanan bola sepak tersebut. Oleh kerana hari Ahad dah memang cuti hujung minggu, jadi cuti tersebut di ganti pada hari Isnin (secara pandai-pandai). Dapatlah kami cuti panjang sikit pada hujung minggu.

Bila pulak Kelantan nak masuk 'final' apa apa sukan? Nak cuti lagi..

Read more...

07 November 2009

Dejavu: Zaman Sekolah Rendah

Hari Rabu baru-baru ni berlangsung acara pelancaran MASTS (Marine Alliance for Science & Technology Scotland). Acara berlangsung di Dynamic Earth, Edinburgh. Selain pelancaran, ada juga dibuka 'stand' dari universiti-universiti Scotland yang terlibat dalam MASTS.


Bersama ahli SERG

Setelah sejam lebih berada di sana dengan mengunjungi pameran, saya dilanda kebosanan. Jadi saya mengambil peluang untuk ke tempat lain yang berdekatan dengan Dynamic Earth ini.

Aktiviti 1: Mendaki bukit

Menuju puncak

Bukit yang saya daki dinamakan Salisbury Crags. Bukit ini merupakan yang tertinggi di Edinburgh. Semasa berada di puncak bukit ini, saya terpegun melihat keindahan bandar Edinburgh (yang merupakan bandar ke-2 paling ramai dikunjungi pelancong di UK selepas London). Namun, saya tidak dapat berada lama sangat di atas bukit ini kerana ada satu lagi tempat yang saya nak pergi, sebelum bertolak balik ke St Andrews.


Edinburgh Castle - pandangan dari Salisbury crags


Aktiviti 2: Melawat Parlimen


Dah lama saya teringin nak melawat Scottish Parliament, namun sebelum ini masa tidak mengizinkan. Jadi peluang yang ada ini saya gunakan sebaik mungkin.

Pintu masuk ke parlimen

Bangunan parlimen Scotland tidak lah besar sangat. Ianya sebuah bangunan moden. Kadang-kadang nampak macam muzim sebab banyak juga hasil seni yang dipamerkan di sini. Semasa di parlimen, sempat juga saya masuk ke Debating Chamber, iaitu dewan tempat wakil-wakil rakyat Scotland bersidang.


Bergambar di Debating Chamber

Secara keseluruhannya, saya berpuas hati mengikuti rombongan ke Edinburgh kali ini. Selain daripada menghadiri pelancaran MAST, dapat juga saya ke tempat menarik yang lain. Terima kasih kepada School of Biology yang menyediakan perkhidmatan bas.

Nota kaki jalan-jalan (jalan free sapa tak nak)

Melawat Scottish Parliament terus membuatkan saya teringatkan aktiviti Lawatan Sambil Belajar semsa sekolah rendah. Selain daripada Parlimen, Muzium Negara dan Zoo Negara juga adalah tempat wajib pergi pada masa tu. Dejavu. Bukan setakat dejavu ini melanda ingatan, tapi juga melanda gaya penulisan ..budak sekolah.

Read more...

25 October 2009

Kebaikan Tidak Minum Arak

Orang-orang di sini kebanyakannya sangat memilih makanan Mereka cuba menjauhi makanan yang kurang sihat; kalori tinggi atau sangat berlemak. Amalan pemakanan mereka sangat ketat.

Tapi yang hairan bin ajaib (bosan la guna frasa klise ni), bila bab minum arak mereka semacam 'menghalalkan' saja perbuatan mereka walaupun tahu tak elok untuk kesihatan. Bagi mereka amalan minum arak ni dah sebati dengan budaya, jadi dah tak boleh nak ubah. Mereka tahu keburukannya, tapi cuba menipu diri sendiri dengan buat-buat tak tahu.

Minggu lepas, saya berpeluang memberitahu mereka kelebihan tidak minum arak, bukan setakat beritahu, tapi siap dengan contoh depan mata lagi. Semasa 'coffee break', rakan-rakan di 'lab' menghadiahkan saya sehelai t-shirt Univ of St Andrews (yang saya dah lama nak beli tapi asyik tangguh sebab agak mahal) sempena ulang tahun kelahiran saya yang ke 29 25. Selain tu ada la benda lain seperti kek dan cokelat (yang saya anggap tak penting ..haha). Selepas berterima kasih, saya angkat t-shirt tersebut sambil berkata inilah kebaikannya jika tak minum arak. Mereka senyap dan tertanya-tanya maksud sebenar saya.


Nota kaki minum Nescafe (bukan arak):

Sudah menjadi amalan ahli-ahli 'lab' kami untuk berkongsi duit dan membeli beberapa hadiah kepada sesiapa di antara kami yang menyambut hari lahir. Semesa giliran rakan-rakan lain, mereka biasanya mendapat hadiah sebotol arak, dan hadiah-hadiah kecil lain yang saya tahu harganya murah. Tapi, bila tiba giliran saya, mereka tak boleh beli arak, jadi duit yang ada tu mereka akan beli hadiah besar dan mahal daripada orang lain dapat. Ha ha ..tu la, minum arak sangat, kan dah rugi dapat hadiah kecik dan murah.

Read more...

16 October 2009

Adakah ini satu petanda ....?

Gambar dari Amal's flickr

Tahun ni merupakan tahun ke-2 saya mengadakan rumah yang agak-agak terbuka untuk Hari Raya. Kalau tahun lepas, jemputan terhad kepada rakan-rakan di St Andrews sahaja, tahun ni jemputan dipanjangkan sedikit kepada (beberapa) orang rakan dari Dundee.

Sesuai dengan skala majlis yang lebih besar, maka makanan yang dihidangkan juga lebih banyak.

Majlis berlangsung dari tengah hari sampai la ke malam. Mujur la 'housemate' saya seorang sahaja. Kalau ramai mesti susah nak adakan majlis macam ni. Lagipun saya dah bagi tahu dia awal-awal lagi pasal majlis ni (lebih kurang usir secara mesra) ..ternyata berkesan sebab dia keluar pagi-pagi lagi, dan balik bila majlis dah hampir-hampir tamat. Takde la dia sengsara lama sangat dengan bunyi bising orang bercakap Melayu.

Saya puas hati bila melihat semua yang datang balik dengan kekenyangan. Tapi agak ralat bila banyak makanan yang tak habis. Mungkin ini satu petanda masakan saya tidak sedap; dan mereka semua buat muka kekenyangan untuk menjaga hati tuan rumah. Orang Melayu kan penuh beradab.

Read more...

08 October 2009

Penilaian Menengah Rendah (PMR)

Ramai yang kata, keputusan PMR tak penting sangat. Lain lah kalau SPM, yang mana keputusannya sangat mempengaruhi peringkat pengajian tinggi kita semua.

Saya pun sebelum ini bersetuju dengan pendapat demikian. Bagi saya, bila dah menduduki peperiksaan SPM, keputusan dalam PMR secara automatiknya akan dilupakan. Orang dah tak tengok keputusan PMR lagi bila dah ada SPM.

Namun, pendapat saya berubah semenjak semalam.

Seorang kenalan di sini menjemput saya makan malam di rumah beliau. Selain saya, terdapat 2 orang lagi rakan lain yang bersama di rumah tersebut. Hidangan yang disediakan oleh isteri beliau sangat lazat, dan sangat banyak. Bagi saya seperti hidangan untuk 10 orang. Namun kami seramai 5 orang sahaja.

Sebelum, semasa dan selepas makan kami mereka tidak henti-henti berborak dan diselang-seli dengan gelak ketawa yang saya pasti jiran sebelah boleh dengar. Saya senyum, sengih dan buat-buat gelak bila merasakan mereka sedang membuat lawak.

Bagi saya, inilah akibat daripada mendapat D dalam Bahasa Arab Komunikasi PMR dulu. Saya tak faham apa yang mereka semua cakap. Kadang-kadang saja mereka guna bahasa Inggeris.

Mujurlah makanan semuanya sedap.

Read more...

  © Free Blogger Templates Spain by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP