31 August 2010

Erti 'kemerdekaan' sebenar



Besarnya bendera ..bukti betapa semangatnya aku dengan sambutan kemerdekaan.

Aku tak pasti macam mana dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia di tanah air. Memandangkan di bulan Ramadhan, adakah sambutan dijalankan secara kecil-kecilan atau seperti biasa.

Namun, apa yang penting, tidak kira skala perarakan dan sambutan kemerdekaan, aku pasti setiap rakyat Malaysia sentiasa bersemangat bila mengenangkan hari bersejarah ini. Secara umumnya, kemerdekaan diertikan sebagai pembebasan Malaysia daripada cengkaman penjajah. Namun, erti kemerdekaan boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. Tidak kira di mana kita berada.

Selain daripada erti kemerdekaan kepada Malaysia yang semua kita ketahui, 31 Ogos 2010 merupakan tarikh keramat bagi aku. Dah lama menanti tarikh ini. Pada tarikh ini 'housemate' aku akan keluar rumah. Balik 'for good' ke negara asalnya. Secara langsung, aku merdeka kerana boleh menguasai dapur. Dan rumah yang aku sewa ini juga merdeka daripada unsur-unsur yang tidak halal.

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia dan selamat berpuasa. Semoga kita sentiasa berbuka dengan juadah yang halal (banyak wei kat Malaysia hotel2 yang takde sijil halal ..so hati-hati lah ye)

14 June 2010

Apabila kesucian ini telah dinodai

Musim Piala Dunia kini malanda kembali.

Ramai orang memperkatakan tentang Piala Dunia pertama yang diadakan pada musim sejuk.
Ramai orang yang bercakap tentang peluang pasukan pilihan masing-masing.
Ramai orang yang sakit telinga dengan bunyi Vuvuzela yang tak henti-henti (ada juga yang suka).

Semua tu tak menarik perhatian aku sangat. Bagi aku itu isu yang biasa sahaja, sekadar tempelan. Isu panas dan utama bagi aku seharusnya adalah tentang kesucian hidangan utama di Kelantan telah dinodai (rujuk gambar di bawah).

BUDUNITED.COM !!!

Nampaknya Budwiser cuba bermain kasar dengan mengaitkan Budu dengan nama mereka. Apakah rasionalnya tindakan mereka?

Aku harap isu ini dapat dimajukan kepada pihak berwajib sesegera mungkin.

Nota kaki (tengok) bola:
Blog ini sedang mengalami kehilangan mood disebabkan pemiliknya sibuk dengan urusan PhD (poyo je) melayan demam Piala Dunia. Sehari lepas Piala Dunia, pemilik blog ini akan mengalami demam British Open pula yang akan diadakan di St Andrews.

30 May 2010

Lupa daratan

Corat-coret BBQ & Sukaneka KMD:


Acara pada minggu lepas dihadiri lebih kurang 80 orang rakyat Malaysia dari St Andrews dan Dundee. Mengikut buku rekod, ini merupakan perkumpulan yang paling ramai di St Andrews.



Orang-orang Scotland yang ada di situ pada masa tu pun terkejut. Mereka terasa macam berada di negara asing pula bila dikelilingi oleh orang-orang yang tidak cakap bahasa Inggeris dalam kumpulan yang sangat besar.


Memandangkan bukan di negara sendiri, dan peralatan tak cukup, kerusi, atau tempat lapik kaki kanak2 semasa guna tandas pun boleh dijadikan peralatan dalam rebut kerusi.

Diberitakan ada beberapa orang dewasa yang mengambil bahagian acara rebut kerusi ni yang mengalami sakit2 otot kesan daripada hentakan semasa duduk atas 'kerusi' tersebut.


Memandangkan St Andrews ni adalah 'Home of Golf', maka acara lari bawa telur dalam sudu telah ditukar kepada bawa bola golf. Orang Kelate kata ..hilirrrrr

Terdapat beberapa kanak-kanak yang 'lemas' semasa acara kutip strawberi dalam air. Acara ni mungkin akan dimansuhkan untuk tahun-tahun mendatang.


Selain acara rebut kerusi, acara lari kaki tiga pun menjadi tarikan. Sepatutnya acara dewasa sahaja, tapi kanak-kanak pun berebut nak turut serta, sehinggakan penganjur kena buat beberapa saringan sebelum masuk peringkat akhir.

Kerana terlalu asyik bersukaneka, banyak makanan yang lebih. Ayam sahaja ada lebih kurang 8 kilo yang masih belum dibakar. Tapi semuanya tak dibazirkan.


Mungkin bagi sesetengah orang perempuan. Penggunaan payung kadang-kala adalah untuk gaya semata, walaupun tidak lah terlalu panas. Tapi bagi kanak-kanak perempuan di atas, penggunaan payung bukanlah untuk tujuan gaya atau nak 'control ayu', tapi sebab panas sungguh. Diberitakan, suhu pada hari tersebut adalah sekitar 28-32 C.

Bercerita pasal suhu, sangat jarang sebenarnya suhu di Scotland macam tu. Mungkin suhu sebegitu seolah-olah memberi peringatan kepada orang-orang Malaysia bahawa macam ni lah suhu di Malaysia bila kita balik nanti. Jadi, jangan la pula buat-buat terkejut dan lupa daratan kata tak biasa.

16 May 2010

Tarik Balik

Keputusan kerajaan untuk menarik balik perlantikan terus pegawai akademik yang dapat PdD ke gred DS51 / DS52 telah menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pegawai-pegawai yang akan terbabit. Siapa tak marah, kalau diberikan peluang mesti lah nak gaji lebih. Tapi, ada juga yang cakap, perlantikan terus tersebut agak tidak patut. Bagi mereka, untuk mencapai gred tersebut perlulah berkhidmat untuk sesuatu tempoh yang agak lama. Mana boleh bila dapat PhD je terus ke DS51. Agak tidak adil kepada pensyarah yang bertahun-tahun berada di gred DS45 hanya kerana tak ada PhD.


Aku rasa ada betulnya juga. Namun, aku rasa kerajaan mungkin dalam dilema sekarang sebab penarikan balik ni telah menimbulkan rasa kecewa kepada beribu-ribu atau berpuluh ribu pegawai akademik yang sedang atau akan sambung PhD. Tapi, kalau diteruskan juga skim ini, nanti akan membuatkan pegawai senior di gred DS45 pula yang tak puas hati.


Entahlah, kita sama-sama nantikan keputusannya. Dalam masa terdekat ini, akan diadakan perbincangan antara wakil KPT dengan wakil Felo/Tutor/Pensyarah yang terjejas dengan dengan keputusan penarikan balik ini. Susah nak puaskan hati 2 pihak yang mewakili 2 kumpulan yang sangat ramai.



Walau apa pun, aku tertanya, tak terfikir ke oleh kerajaan atau mereka yang bertanggungjawab untuk tarik balik gelaran Datuk kepada Lee Chong Wei. Mungkin gelaran sedemikian membuatkan beliau rasa tertekan, dan sebab itulah asyik kalah je kalau main lawan Lin Dan (yang takde Datuk pun). Lagipun, kalau tarik balik gelaran daripada Lee Chong Wei, pihak yang tak puas hati mungkin tak seramai kumpulan pensyarah di atas.


Nota kaki bangku (bukan kaki skodeng):

Tapi aku rasa syukur dan bertuah memandangkan Naib Canselor UMT telah memberi jaminan bahawa penarikan balik tersebut tak akan dilaksanakan di UMT. Jadi, sila mohon jawatan kosong di UMT sekarang!

10 May 2010

Kekuatan Jati Diri


Kesan daripada 'volcanic ash' dari Iceland baru-baru ini tidak semestinya sesuatu yang buruk kepada semua orang. Ada juga baiknya kejadian tersebut.

Sebagai contoh, kerana debu gunung berapi tersebut, pemergian aku ke London atas urusan rasmi/akademik telah bertukar menjadi urusan jalan-jalan makan angin. Biological Diversity Meeting telah dibatalkan pada saat-saat akhir, namun semasa mereka hantar emel makluman, aku telah pun memulakan perjalanan. Bak kata pepatah Scotland purba, "Terlajak perahu boleh undur, terlajak train tak boleh undur dah".

Ramai nya manusia yang 'tertipu'
Oleh kerana ada 2 hari 'free' di London, jadi aku ambil kesempatan untuk pusing-pusing di sini. Salah satu tempat yang aku pergi adalah istana Buckingham untuk tengok upacara 'Changing the Guard'. Kepada sesiapa yang bercadang untuk pergi ke sini, aku nasihatkan tak perlu lah. Sebabnya upacara ni bukanlah hebat sangat. Acara pertabalan Agong di Malaysia jauh lagi hebat. Ya, mungkin sebab acara pertabalan Agong adalah acara tahunan, manakala acara Guard Changing ni acara harian. Namun, sikap orang di sini yang selalu yakin untuk mempromosikan identiti negara mereka membuatkan ramai yang berkobar-kobar untuk menonton, walaupun sebuah acara yang sangat sederhana.


Acara yang biasa-biasa, tapi kalau kena dengan promosi boleh jadi 'grand'

Brass band sekolah mana ni? Sains Machang punya Band lagi bagus.




"Apa gunanya ada telefon kalau tak guna, kan?"
Setiap kali mesej baru masuk, pakcik ni terus 'delete'.
Namun, semasa berada di sini, aku telah sedar tentang satu perkara yang penting kepada kita semua; iaitu JATI DIRI. Dalam berhimpit-himpit, aku sempat memerhatikan gelagat seorang pakcik dari Sepanyol dengan telefon bimbit beliau, iaitu NOKIA 3310. Aku tabik dengan pakcik ni, di kala kebanyakan orang dah pakai telefon dengan skrin berwarna, dia masih lagi setia dengan NOKIA 3310. Dan, dia juga dengan penuh yakin guna telefon tu di tengah-tengah orang ramai. Pada 
waktu tu, dialah orang yang paling aktif guna telefon. Tiga-empat kali bermesej dan menelefon dalam masa seminit!






02 May 2010

Katakan Tidak kepada Conservative

Tinggal beberapa hari lagi menjelang pilihanraya umum UK. Parti-parti politik semakin hari semakin giat menjalankan kempen untuk menarik pengundi memilih mereka. Mungkin kerana terlalu ghairah mencari undi, sampaikan rakyat asing macam aku pen sudah beberapa kali menerima panggilan telefon dan surat daripada perayu undi.

Dalam pilihanraya kali ini, terdapat 3 parti utama yang berebut takhta untuk mentadbir Britain. Parti-parti ini adalah Labour pimpinan Gordon Brown (Perdana Menteri sekarang); Conservative pimpinan David Cameron; dan Liberal Democratic pimpinan Nick Clegg.

Melalui pemerhatian kasar aku, dan juga setelah beberapa kali siri 'prime ministerial debates', aku masih samar-samar dalam memilih parti mana yang terbaik untuk menerajui Britain. Namun, kepada rakyat Malaysia yang berada di sini, atau rakyat Malaysia yang bercadang untuk melawat UK, aku menyeru agar 'katakan tidak kepada conservative'!!

Kajian kes

Kebanyakan rakyat Malaysia, bila melawat London selalu berfikiran 'conservative'. Mereka (termasuk juga aku, sebelum ni) selalu ke Malaysian Hall untuk dua tujuan utama iaitu makan dan penginapan. Namun, tanpa mereka ketahui, sebenarnya ada lagi tempat lain yang lebih bagus untuk menginap dan makan berdasarkan kepada kriteria utama iaitu layanan, dan makanan yang lebih sedap.

Aku pun antara orang yang berfikiran 'conservative' bila ke London sebelum ini. Tempat pertama yang dituju bila mencari penginapan dan juga makan adalah Malaysian Hall, walaupun dah 2 kali mengalami perasaan sakit hati kerana layanan mereka yang hampeh. Sebagai contoh, kalau berhubung melalui telefon pihak asrama di Malaysian Hall, makcik yang berurusan selalunya cakap kasar dan sombong, ditambah lagi dengan kata-kata menyindir mereka untuk menggambarkan bahawa mereka adalah orang London-konon. Lagipun, mereka tiada toleransi langsung kalau nak 'check-in' lewat sikit daripada waktu yang ditetapkan. Begitu juga dengan kantin Malaysian Hall. Makcik dan pakcik yang kerja di situ juga cakap kasar dan ada je nak main kias-kias yang menyakitkan hati.

Tapi, 2 minggu lepas, aku ambil keputusan untuk 'menentang arus'. Aku menginap di Mara House. Memang bilik di sini tak sehebat Malaysian Hall, tapi sekurung-kurangnya hati aku gembira sebab layanan mereka baik. Cakap pun sopan dan tiada unsur nak menunjuk-nunjuk yang mereka tu orang London. Aku 'check-in' pun lewat daripada waktu normal, dan mereka boleh je tunggu aku sampai. Harga penginapan 2 pound lebih mahal daripada Malaysian Hall, tapi aku tak kisah!

Untuk makan pula, aku makan di Bonda Cafe (bawah Mara House) yang jauh (jauh jela') lebih sedap daripada di kantin Malaysian Hall. Aku juga mengisi perut aku dengan makanan Malaysia di Makan Cafe (Portobello Road); yang juga jauh lebih sedap daripada kantin Malaysian Hall. Dan, kedua-dua kafe ni bebas daripada kata-kata sinis dan berlagak seperti yang aku dengar di kantin Malaysian Hall. Harga pun lebih kurang je dengan di kantin tu!

Aku sekadar memberi pandangan berdasarkan pengalaman sendiri. Aku dah berubah. Anda bila lagi?? Pilihlah dengan bijak kerana keputusan di tangan anda.

25 April 2010

Sumber Protein

Dua tahun lepas, semasa urusan cari tempat belajar, aku dapat juga tawaran daripada University of Liverpool. Masa tu rasa beriya-iya untuk pilih Liverpool sebab fikir mesti senang nak tengok 'game' bolasepak. Tapi, selepas tanya rakan-rakan, dan kebanyakan mereka cakap Liverpool ni agak kurang selamat (kadar jenayah antara yang tertinggi di UK), akhirnya aku pilih St Andrews.

Namun, minggu lepas, tercapai juga hasrat untuk ke Liverpool. Sekurang-kurangnya sekadar melawat. Terima kasih kepada Syahrin dan famili kerana menjadi 'host' saya untuk hujung minggu lepas, dan juga trip ke Liverpool ni.

Selain daripada Stadium Anfield*, aku tak nampak banyak yang menarik dengan Liverpoo; antara 5 bandar terbesar di UK. Mungkin sebab aku ni jenis tak suka sangat tinggal di bandar. Lagipun pada pengamatan aku, bandar Liverpool bukan jenis teratur sangat, dan tak rasa macam duk di bumi British (sebab ramai 'foreigners kot).Lagi satu yang menarik sebab ia merupakan bandar pelabuhan. Penuh dengan kapal-kapal besar; ada yang komersil, peranginan dan juga kapal perang (yang dah 'pencen' kot). Keadaan begini (tepi laut) sekurang-kurangnya dapat juga 'relatke'kan dengan Terengganu, walaupun di Terengganu, kebanyakan kapal-kapal digunakan untuk tujuan perikanan (tak ada kapal perang dan tak banyak kapal kontena).


Pemandangan sebahagian bandar Liverpool dari Liverpool Eye. Tak boleh nak London Eye, yang ni pun jadi lah.

Walau macam mana pun puas hati juga kerana tercapai hajat untuk jejak kaki ke Liverpool, terutama sekali di stadium Anfield. Tapi terkejut juga bila tengok stadium ni. Kecik dan menyayat hati je, walaupun Liverpool FC merupakan sebuah kelab besar dan tersohor. Satu pengajaran baik untuk sukan di Malaysia; kita tak semestinya kena ada stadium besar macam Bukit Jalil untuk ada sebuah pasukan bolasepak yang mantap.

Sebelum meneruskan perjalanan aku ke London pada hari Ahad, Syahrin juga telah bagi kepada aku benda berharga kepada orang Kelantan, iaitu sumber protein daripada ikan. Kalau dulu hanya ada dalam botol, namun sekarang telah dipasarkan dalam bentuk paket. Boleh lah lepas ni mintak famili di kampung pos kan (dan tak perlu melalui pelabuhan Liverpool pun).


Merah dan mengancam, rasanya pasti membuatkan anda di awangan

Nota kaki bangku (bukan kaki skodeng):

* Oleh kerana keadaannya yang agak menyayat hati, aku tak sanggup untuk letak gambar stadium Anfield kat sini, kerana dibimbangi akan melukai hati penyokong fanatik dan totoq Liverpool di Malaysia

11 April 2010

Masalah Keguguran

Antara kenyataan daripada Naib Canselor yang melegakan aku (dan juga semua yang hadir) adalah bahawa kami boleh membuat tuntutan bayaran tiket datang ke London untuk perjumpaan ini.

Menurut beliau, perjumpaan bersama dengan staf UMT di UK (minggu lepas) diadakan atas dasar "siapa yang ada kelapangan boleh datang". Atau dengan kata lain, tak payah datang pun tak apa. Sebab UMT dah tak cukup bajet untuk tujuan tersebut. Tapi sesiapa yang datang tu mesti lah boleh 'claim' Sebab itulah, dalam emel panggilan tidak dinyatakan perkataan 'diwajibkan hadir'. Lega bila NC cakap begitu sebab sebelum ni (selepas aku dah beli tiket) memang ada ura-ura yang cakap tak boleh 'claim'.

Tujuan perjumpaan tersebut, macam biasa; untuk mengetahui perkembangan semasa pelajaran, bertanyakan masalah dan juga untuk motivasikan staf-staf UMT di sini. Hampir semua yang datang mempunyai masalah masing-masing. Sebelum perjumpaan aku rasakan masalah yang aku hadapi ni dah cukup besar. Tapi, bila mendengar masalah rakan-rakan lain, baru lah aku tahu yang aku tidak sendirian. Dan bila mendengar kata-kata semangat NC yang suruh bertindak rasional dan berfikiran positif, lega rasanya ..dan kembali semangat untuk meneruskan perjuangan ini.

Namun, ada satu saja kata-kata NC yang membuatkan aku tak sedap hati bila memikirkannya. Ayat pertama yang Prof Aziz tegur aku masa jumpa beliau baru-baru ini adalah "rambut kau dah banyak yang gugur".

Macam mana ni , ada tak sesiapa yang boleh pos minyak Yun Nam Hair Care?

28 March 2010

Datang Bulan

Bermula semalam, jam di sini telah dicepatkan 1 jam lebih awal. Kalau sebelum ni, waktu di Malaysia lebih awal 8 jam berbanding di UK, sekarang ia menjadi 7 jam.

Sebenarnya pening juga dengan tukar-tukar jam ni. Tapi nasib baik lah telefon bimbit dan komputer sekarang akan tukar waktu secara automatik. Jadi, tak lah kelam kabut sangat bila tiba masanya.

Penukaran waktu akan dilakukan setiap 2 kali setahun. Selain daripada semalam, jam akan sekali lagi ditukar pada minggu terakhir bulan 11, menandakan masuknya musim 'winter'. Menurut 'technician' di 'lab' aku, tujuan asal penukaran jam ni adalah bagi tujuan keselamatan pelajar sekolah, terutamanya di masa 'winter' nanti. Bila masuknya musim sejuk, jam akan dilambatkan 1 jam balik. Ini membolehkan pelajar sekolah ke sekolah dalam keadaan cerah, matahari dah naik. Tapi sebenarnya bagi aku sekarang dah tak perlu buat macam ni sebab kebanyakan pelajar ke sekolah dengan bas, atau mak bapak mereka hantar. Satu lagi, kalau jam tak ditukar balik bila 'winter' nanti, sekurang-kurangnya waktu paling awal matahari terbenam pada musim tersebut akan jadi sekitar jam 4.30. Tidak macam kes sekarang jam 3.30 dah malam.

Besar kesannya waktu matahari terbenam kepada masyarakat sini. Dua tiga bulan lepas, kebanyakan orang bermuka masam. Jarang sekali nak nampak senyuman. Macam datang bulan pulak. Yang lelaki pun sama; walaupun secara teknikalnya tak menghadapi 'waktu tu', tapi 'mood' masing-masing tak baik sangat. Tapi bermula hari ni, dari tingkap rumah aku dapat lihat ramai orang senyum senyum gembira sambil jalan tepi pantai sebab waktu Maghrib jam 7.42 malam (20 minit lagi) hari ni. Tengoklah nanti masa musim 'summer' mungkin ramai yang akan mengilai riang bila berjalan tepi pantai sebab masa tu matahari jatuh jam 10 malam.

20 March 2010

Kepada Siapa Perlu Aku Memohon?

Sabtu lepas aku ke Dundee, menghadiri majlis Sambutan Maulidur Rasul, anjuran Komuniti Melayu Dundee (KMD). Bagus juga ada majlis macam ni, dapat menerbitkan rasa keinsafan dalam diri. Iyalah, duduk di negara yang rakyatnya bukan majoriti Muslim, program sebegini antara sumber utama untuk meningkatkan kefahaman tentang Islam.


Barisan ahli panel forum



Tayangan perdana untuk kanak-kanak yang dalam masa yang sama menjadi 'pencabar' kepada forum, dan berjaya menarik minat bukan sekadar kanak-kanak.



Acara santapan yang sentiasa ditunggu-tunggu

Selain itu, program macam ini juga boleh digunakan untuk mengeratkan silaturrahim sesama masyarakat Melayu. Di samping itu (sebenarnya bukan di samping sangat, tapi utama juga), program seperti ini biasanya kaya dengar pelbagai jenis makanan yang sedap-sedap.

Gembira rasanya sebab dapat menikmati santapan rohani dan jasmani dalam program yang singkat ini. Kali terakhir aku ke program KMD adalah semasa Majlis Hari Raya Aidiladha dan Mesyuarat Agung KMD pada bulan November 2009. Terima kasih kepada mereka yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan majlis tersebut. Segan juga kerana menjadi orang yang sekadar hadir sahaja. Tapi, apakan daya, kata orang tua-tua 'kalau segan, nanti lapar' (macam salah je frasa ni).


Nota kaki bangku (bukan kaki skodeng):

Gambar-gambar di atas di'pau' dari facebook Mahadi. Aku tak pasti kena mohon kebenaran dari dia ke tak, sebab rasanya sebarang gambar yang dimuat naik ke Facebook akan menjadi milik Facebook, dan pihak Facebook boleh sesuka hati mereka untuk menggunakan gambar-gambar tersebut. Kesudahannya, aku tak mohon kebenaran pun daripada mana-mana pihak. Maaf ya.

07 March 2010

H1N1

Setelah hampir 2 tahun berada di sini, salah satu perkara yang aku perasan tentang orang-orang Scotland adalah mereka ni sangat mesra. Lebih-lebih lagi kalau warga tua. Kalau selisih ada je yang akan tegur, atau sekurang-kurangnya senyum. Kadang-kadang aku terpaksa 'melarikan diri' daripada mereka sebab bila mereka mula sembang, susah pulak nak beredar. Ada sahaja menda yang mereka nak cerita; daripada hal keluarga mereka, pasal makanan, mahupun cuaca. Sikap mereka ni agak berbeza dengan orang England. Lebih-lebih lagi kalau England yang bahagian selatan.

Minggu lepas aku ke sebuah 'supermarket' yang baru dibuka di St Andrews, iaitu Nisa. Kedai ni betul-betul berhadapan dengan Tesco. Baguslah. Sekurang-kurangnya ada juga persaingan. Dan dapat juga 'mendesak' Tesco untuk turunkan harga kebanyakan barang-barang mereka (rujuk nota kaki bangku). Tapi, setelah beberapa kali ke Nisa, aku dapati kebanyakan harga barang mereka lebih mahal daripada Tesco. Setakat ni, aku hanya perasan bawang putih sahaja yang lebih murah di Nisa berbanding Tesco. Tapi, Nisa ada kelebihannya sebab mereka jual Megi (bukan cap Maggi) halal, dan juga sandwic halal. Akhirnya ada juga sandwic halal di St Andrews. Tak perlu lah kami di sini mengisi perut dengan sandwic 'cheese and onion' sentiasa.

Minggu lepas (macam sama je ayat intro dengan perenggan di atas), semasa di kaunter bayaran untuk bayar sandwic ('chicken tikka') yang aku beli, sempat aku bagi cadangan kepada pakcik yang jaga kaunter tersebut, supaya mereka jual sosej dan salami halal juga. Iyalah, kalau nak stok kan ayam dan daging mentah halal, mungkin agak sukar, tapi kalau ada sosej atau salami, dapat juga kami di sini masak nasi goreng yang bukan berisikan bilis / telur / udang sahaja. Pakcik tersebut cakap, mereka mungkin boleh jual nya sebab dia rasakan permintaan makanan halal pun agak tinggi. Katanya sandwic-sandwic tersebut (yang halal) sangat laku.

Aku dengar suara makcik di belakang aku yang tiba-tiba menyampuk. Dia pun cakap yang dia suka sandwic, selalu beli juga. Aku teruja dengar orang bukan Muslim pun suka makan yang halal. Aku tanya dia, yang mana dia suka, 'chicken tikka' ke ..ataupun 'chicken and mayo'. Tapi makcik tu jawab dengan tanpa rasa bersalah yang dia suka sandwic b*b*.

Bila pula si pembawa H1N1 tu ditakrif sebagai halal? Mesra alam sangat makcik ni, menyampuk tak tentu pasal.


Nota kaki bangku (bukan kaki skodeng):

Menurut satu kaji selidik pada tahun lepas, Tesco di St Andrews adalah Tesco yang paling mahal UK, lebih mahal daripada Tesco London (Hafiz Sarim 2009, unpublished)

22 February 2010

Mesti Ada Tanda Halal Ke?

Satu kesulitan bila berada di tempat yang tak ramai Muslim adalah susah nak jumpa makanan halal. Sebagai contoh, orang-orang Muslim di St Andrews ni kena naik bas (atau kereta sendiri kalau ada) ke Dundee untuk beli ayam atau daging halal. Perjalanan mengambil masa lebih kurang setengah jam.

Susah tu memang lah susah. Tapi nak buat macam mana, ini lah dinamakan pengorbanan. Lagipun kesulitan begini membuatkan rasa rindu kepada Malaysia yang tercinta semakin membuak-buak (ayat patriotik ikhlas, bukan mengampu ni!). Cuma, kadang-kadang, terdetik juga di fikiran, alangkah senangnya kalau di St Andrews ni ada jual ayam atau daging halal. Setidak-tidaknya kalau ada jual sosej atau salami yang ada tanda halal pun jadi la (takde la sayur semata-mata dalam Nasi Goreng aku).

Ada juga sesetengah Muslim yang tak kisah. Mereka beli je daging dan sosej ni walaupun tak ada tanda halal (asalkan bukan daging H1N1). Bagi mereka ini dikira darurat sebab berada di tempat bukan majoriti Muslim. Darurat sangat la tu ..30 minit ke Dundee.

Tapi, sekarang aku pun sedang berkira-kira untuk beli sosej yang takde tanda halal tu. Itupun kalau cuaca sejuk semakin berlarutan atau semakin bertambah buruk di mana aku rasa keadaan tu boleh dikira darurat untuk berbuat demikian.

Perkara ni terlintas di fikiran aku selepas baca BERITA ni. Cuma tak pasti, ada ke tak di Tesco kat sini.

14 February 2010

Jumaat

Moero Attack!

Aku rasa sesiapa yang lahir pada tahun 70-an dan 80-an mesti masih ingat drama bersiri Jepun ni. Cukup popular pada awal 90 an.

Kerana drama bersiri ni lah, ramai yang ponteng sekolah (kalau sekolah petang), atau, bagi yang kelas pagi akan ponteng kelas agama atau kelas fardhu ain. Biasalah masa tu, semuanya terpegun dengan kehebatan aksi Cun (atau Jun?) dan rakan-rakan dengan 'somersault' berpusing, piring terbang dan sebagainya. Memanglah 'skills' mereka tu tak logik, tapi itulah yang syok nya.

Aku pun antara orang yang pernah terjebak dalam aktiviti ponteng kelas Fardhu Ain akibat Moero Attack punya pasal. RTM pun satu hal, kenapalah dia tayang drama ni pada hari Isnin - Rabu sahaja. Masa hari Jumaat dan Sabtu tak ada pula. Sepatutnya masa hujung minggu tu lah kena tayang, tak perlulah susah susah budak-budak nak kena bagi alasan untuk ponteng kelas.

Bagi sesiapa yang ingat-ingat lupa cerita ni, sila tengok video ni untuk kembalikan memori anda.

Aku tak perlukan video ni pun untuk mengingatkan kembali kepada Moero Attack. Jumaat baru-baru ni aku ke 'Sports Centre' untuk main bola tampar. Kami main campur ..lelaki dan perempuan. Baru je mula main, aku terus je teringat cerita Moero Attack bila tengok seorang awek dari Italy yang pakai seluar ketat macam dalam cerita tu. Dah lah selalu tunduk-tunduk (kononnya bersedia) depan aku masa aku nak 'servis' gaya piring terbang. Akibatnya servis aku tak berapa menjadi pada hari tu.

Tak sabar nak tunggu hari Jumaat.

06 February 2010

1 Malaysia

Satu perkara yang mungkin akan membuatkan warga UMT rasa pedih kerongkong adalah bila ada orang tanya

"UMT tu kat mana?"

dan warga UMT kena bagi jawapan skema,

"...sebelah KUSZA aka UDM"

Memang diakaui UMT masih kurang dikenali di kalangan masyarakat Malaysia. Kadang-kadang orang Terengganu sendiri pun tak tahu UMT tu apa ..dan di mana?

Saya tertanya sendiri, adakah keadaan ini akan berubah sedikit masa lagi? Ini setelah nama UMT agak 'menonjol' dalam Berita Harian baru-baru ini bila salah seorang daripada pensyarah UMT yang sedang menyambung belajar di UK dapat pengiktirafan daripada Ratu Elizabeth (sumber Berita Harian)

Tahniah kepada Kak Noor Zaitun atas anugerah tersebut. Saya cukup kagum dengan beliau, yang bukan sahaja tekun dengan kajian PhD beliau, tetapi juga sangat dedikasi dalam mengasas dan menerajui 'Malaysian Postgraduate Association in UK and Eire'.

Tapi bila difikirkan balik, saya agak sangsi yang nama UMT akan terus popular di Malaysia selepas ini walaupun berita kejayaan Kak Noor itu masuk dalam akhbar arus perdana (bukan terbitan kumpulan Harakah). Ini kerana berita yang ada nama Ratu Elizabeth, kalau berpandukan kepada 'Berita pilihan tertinggi' masih dibayangi oleh nama Saiful Bukhary yang lagi sensasi.



Dari segi lain, ada juga nilai positif di sebalik keadaan ini, di mana ianya menunjukkan betapa ramai rakyat Malaysia yang mempunyai semangat 1 Malaysia. Mereka lebih bersemangat patriotik dengan mengutamakan hal-hal semasa di Malaysia terlebih dahulu sebelum mengambil tahu hal orang lain.

26 January 2010

Kenapa Biri-Biri Melintas Jalan?

Khamis lepas, aku dan beberapa lagi pelajar Malaysia di St Andrews ke Glenshee untuk main 'snowboard'. Perjalanan dari St Andrews ke ski resort tak jauh sangat, lebih kurang 1.5 jam.

Teringat kat Malaysia bila perjalanan kami dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada biri-biri 'cute' ni melintas. Kalau di Malaysia biasanya Lembu yang 'cute' juga.


Memandangkan ini merupakan kali pertama kami main benda ni, jadi kami ambik la pakej dengan 'lesson' sekali. Ok juga bila ada orang ajar, sekurang-kurangnya kami tahu cara nak berhenti dan buat pusingan L. Masa main-main (sebelum pelajaran bermula), kami semua berhenti dengan menghempaskan punggung secara dramatik. Sakit. Tambahan pula punggung aku agak nipis lapisan isinya.

Gambar sebelum memulakan aksi lasak 'snowboarding'. (p/s: sebenarnya gambar ni masa dah nak balik, tapi aku saja ubah nk sesuaikan dengan kronologi cerita ni)

Pelajaran 'snowboarding' mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah. Banyak juga teknik yang sempat dipelajari. Tapi yang tak 'best' bila jurulatih tersebut hanya ajar untuk guna sebelah kaki sahaja. Maksudnya sebelah kaki dengan 'strap' dan sebelah lagi tanpa 'strap'. Kalau nak belajar untuk 2 kaki kena bayar untuk pelajaran seterusnya.

Masing-masing buat muka gembira selepas pelajaran 'separuh harga' harga tersebut.

Lepas tu baru aku tahu kenapa biri-biri tadi menyekat jalan yang kami lalu. Rupa-rupanya mereka tak bagi kami belajar main 'snowboard'. Mungkin sebab mereka pun kena bayar harga yang mahal ..sebenarnya jauh lagi mahal untuk keempat-empat kaki tersebut. Kesian mereka.

Baru je belajar, aku dah 'koya best' dengan cuba menakluki cerun curam tersebut (dan berjaya)

17 January 2010

Diet


Aku rasa ramai di kalangan kita semua yang sentiasa menjaga berat badan. Nak sentiasa kurus sebab kononnya nampak lebih menarik. Banyak produk makanan atau ubatan yang dijual untuk menurunkan berat badan. Macam-macam 'brand' (aku rasa dari kilang yang sama cuma paket saja yang lain). Adi Putra ada keluarkan produk ni ke?

Kepada mereka yang selalu 'struggle' untuk menurunkan berat badan; tak kira lah sama ada dengan makan produk2 kecantikan yang macam-macam ataupun sanggup berlapar. Sebenarnya anda tak perlu sangat pun berbuat demikian. Ada kebaikannya berat/saiz badan sedemikian dikekalkan.

Kenapa?


Semalam aku ke Dundee untuk beli jaket, kebetulan banyak juga kedai yang buat 'sale'. Macam-macam jenama. Macam-macam ragam manusia. Ramai sangat orang sebab ada sesetengah kedai yang buat 'sale' 70%.

Berjam-jam juga aku dalam kompleks tu (yang saiz dan bentuknya lebih kurang macam KB Mall). Tapi hampa; sebab punyalah susah jumpa barang-barang 'sale' yang bersaiz S. Belek-belek di 'rail' yang jumpa kebanyakannya saiz L, XL atau XXL. Kalau seluar pula pun susah nak jumpa saiz 30". Yang banyak saiz 35" dan ke atas. Macam tak ikhlas pula mereka ni buat 'sale'.

Kecewa juga sebab tak dapat beli. Kalau t-shirt aku tak kisah sangat sebab kalau tak ada saiz S aku boleh beli yang saiz budak 14-16 tahun ..padan. Tapi kalau jaket ni susah sikit; mungkin labuhnya ok dengan aku, tapi biasanya ketat sikit sebab dada aku bidang (tolong jangan muntah!).

12 January 2010

Kasta Rendah

Masa bercakap dengan Mak pagi semalam, dia tanya aku pasal zakat pendapatan. Terkedu juga, sebab tak fikir pun pasal ni, tak cakna.

Habis je perbualan, aku terus ke sini untuk kira berapa yang patut aku bayar zakat pendapatan.

Sebenarnya masa jadi RA dulu pernah kira; dan aku dikategorikan sebagai Tidak Layak untuk membayar zakat.

Tapi lupa pula bila dah tukar status jadi Felo Akademik. Pendapatan lebih sikit dari RA, jadi perlulah bayar zakat. Nilai tunggakan agak banyak juga walaupun bermula akhir tahun 2007. Kalau ikutkan pendapatan di Malaysia saja mungkin tak banyak sangat, tapi aku kira sekali elaun yang dapat kat UK, itu yang jadi banyak sikit. 'Berpeluh' juga. Tapi tak apa asalkan puas hati bila dah menunaikan tanggungjawab. Mudah-mudahan pendapatan yang aku perolehi adalah 'bersih'.

Kepada sape-sape lagi yang Kasta paling bawah dalam Jawatan Akademik (i.e. Felo Akademik), jangan ingat orang Kasta Tinggi (i.e. Tutor, Pensyarah dan ke atas) je yang kena bayar zakat, kita pun kena juga.

03 January 2010

Salah kah aku, kalau gembira di hari Krismas?

Masa berlalu begitu sekejap. Esok (atau menurut sesetengah orang, lusa) dah mula kerja secara rasminya. Lab akan kembali penuh. Dah rasa tak best dah. Alangkah best-nya kalau dapat buat kerja di lab yang sunyi macam 2 minggu lepas. Tiada gangguan dan tekanan. Tapi aku tahu, ini sekadar angan-angan. Pelajar lain pun bayar yuran juga untuk buat kerja di lab (walaupun yuran yang mereka bayar 3 kali lebih rendah daripada apa yang aku bayar).

Bermula semalam, St Andrews sudah kembali sibuk apabila pelajar (50% penduduk di sini adalah pelajar University of St Andrews) mula kembali daripada percutian. Aku pasti kebanyakan daripada mereka tentu gembira menyambut Krismas dan Tahun Baru bersama keluarga masing-masing.

Tapi walaupun tak kemana-mana, tidak bermakna aku bersedih. Betul, aku tak pernah peduli dengan Krismas dan Tahun Baru. Tapi kali ini, aku sangat gembira semasa kedua-dua hari tersebut, kerana ianya jatuh pada hari Jumaat. Suasana sekitar St Andrews sunyi sepi. Tenang, aman dan tenteram. Dah lama tak rasa begini semenjak berada di luar Malaysia Kelantan dan Terengganu.