28 April 2009

Surat Terbuka Untuk Tan Sri Annuar Musa

Assalmualaikum Tan Sri,

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih atas kesudian Tan Sri membaca surat ini (ya ke?) meski sentiasa dalam kesibukan dengan tugas Tan Sri.

Sebelum bercerita lebih lanjut, elok rasanya untuk saya perkenalkan diri terlebih dahulu. Nama saya Wan Mohd Rauhan Wan Hussin. Saya merupakan anak jati Kelantan. Berasal dari sebuah kawasan yang bertanggung jawab dalam memacu industri pelancongan negara, iaitu Rantau Panjang.

Untuk pengetahuan Tan Sri, saya merupakan salah seorang penyokong kuat pasukan bola sepak Kelantan (Red Warrior). Saya sangat berbangga dengan pencapaian pasukan ini yang berjaya melayakkan diri di peringkat akhir. Walaupun kalah dalam penentuan penalti kepada Selangor, saya tetap bangga dengan semangat dan dedikasi mereka dalam perlawanan tersebut.

Saya mendapat tahu yang semua pemain dan pegawai telah dijanjikan satu pakej lawatan ke Old Trafford sebagai habuan kejayaan tersebut. Saya kira habuan seperti in sangat penting dalam meningkatkan motivasi pemain.

Ok, dipendekkan cerita, saya menawarkan diri untuk menjadi 'tour guide' Tan Sri dan rombongan Red Warrior bila ke stadium ini. Untuk makluman Tan Sri, saya baru sahaja pergi ke stadium ini ninggu lepas. Jadi, saya masih lagi ingat setiap penerangan yang diberikan dan juga setiap tempat-tempat menarik dalam stadium ini yang biasanya orang akan pergi.

Sekian Waassalam

22 April 2009

Universiti paling saya benci

Ketika mencari-cari tempat untuk sambung PhD, saya sangat benci University of Manchester. Sebabnya, kerana mereka tidak menawarkan pengajian dalam bidang Ekologi Marin. Tapi itu dulu, sekarang dah tak benci lagi.


Nota kaki bangku (Bukan kaki skodeng):
Lebih banyak gambar akan di'upload' ke facebook (tak tahu lagi bila). Tapi maaf, tiada soalan kuiz bolasepak untuk dijawab oleh anda yang menggemarinya

16 April 2009

Tiada caj tersembunyi

16 April - Setahun yang lalu pada tarikh ini merupakan hari pertama saya menjejakkan kaki di St Andrews.

Masih ingat lagi, waktu awal-awal sampai, selain dengan semangat berkobar-kobar, saya juga sentiasa membilang hari. 3 hari terasa seperti 3 minggu. Lamanya masa berlalu.

Tapi itu dulu. Sekarang, masih juga membilang hari, tapi kenapalah terasa sekejap sahaja masa berlalu. 3 minggu terasa macam 3 hari yang lepas.

Perasaan pun dah bertambah bimbang. Sempat ke sebenarnya nak habiskan dalam masa 3 tahun? Tak pernah lagi saya berkerja sekuat dan serajin seperti tahun lepas, tapi perasaan bimbang sama ada sempat atau tidak sentiasa bermain-main di kepala. (Rasanya tak perlu saya tuliskan di sini rekod akademik saya untuk menjelaskan betapa tidak-rajinnya saya dulu).

Ya, memang betul saya dah lulus mini-viva; dan membolehkan secara rasminya menjadi pelajar PhD. Tapi selagi tidak betul-betul habis (i.e lulus viva), rasanya tiada apa yang boleh dibanggakan dengan pertukaran status daripada seorang 'General Research Student' kepada "PhD Student"

Ada masa 2 tahun lagi untuk bertungkus-lumus. Saya selalu mengingatkan Dave bahawa saya tak boleh lebih 3 tahun. Tujuannya supaya beliau tak akan membebankan saya dengan kerja yang lebih. Sekadar cukup-cukup untuk PhD pun tak apa. Janji lulus. Tapi, sempat ke tidak saya pun tak pasti. Lebih-lebih lagi bila bersembang dengan rakan-rakan di sini, kebanyakannya mengatakan pelajar bidang ekologi mengambil masa lebih 3 tahun, terutamanya mereka yang terlibat dengan kerja-kerja 'identification' (tak kira la, 'invertebrates', 'fishes' atau 'seaweeds'). Alamak, saya pun dalam kategori ini juga!

Nota Kaki Bangku (Bukan kaki skodeng):
Seperti yang saya katakan, entri ni memang 'straight forward'. Tiada maksud terselindung dan tiada caj tersembunyi!

12 April 2009

Menjejaki Paris Hilton

Saya pasti ramai yang mengenali Paris Hilton. Bintang ternama yang saban hari gambarnya terpampang di dada majalah, mahupun di laman web. Aksi-aksi hebat Paris Hilton dalam gambar membuatkan saya begitu teruja untuk bersua muka secara 'live'.

Jadi, selain daripada memenuhi kriteria sebagai Melayu Malaysia tipikal dalam memilih destinasi percutian di luar negara, tujuan saya ke Paris, baru-baru ini adalah untuk menemui Paris Hilton.

Saya telah melakukan perancangan rapi demi memastikan misi pencarian ini terlaksana. Agak bernasib baik kerana telah mendapat sokongan daripada famili Bro Rusdi dan Bro Zahuri (maaf Abe Dee, malas nok letok link sini).

Daripada maklumat awal (walaupun agak sangsi juga), kami diberitahu Paris Hilton berada di Disneyland Park. Seharian kami di sana. Puas mencarinya tapi hampa. Yang ada hanyalah Mickey Mouse, Donald Duck, Lilo, Stich dan rakan-rakan mereka.
Hari ke-2 kami ke kawasan Eiffel Tower. Kami beranggapan Paris akan berada di tempat tumpuan ramai, sebab dia sangat suka publisiti. Namun, sekali lagi misi kami gagal. Bukan Paris Hilton yang kami jumpa, tapi Paris Hitam; iaitu pemuda-pemuda Afrika dan Bangladesh yang memenuhi kawasan tersebut untuk menjual cenderamata. Nak ambik gambar pun susah sebab mereka asyik berada dekat dengan kami sambil menyebarkan aroma badan yang menyesakkan hidung.


Misi Hari ke-2 agak tergendala kerana hujan lebat di Paris. Kami bersabar. Pencarian diteruskan pula keesokan harinya. Pencarian pada hari ke-3 ini kami mulakan di Champs Elysees. Iaitu jalan yang paling popular di Paris dan dipercayai antara kawasan paling mahal di Eropah. Tapi, Paris Hilton tiada di sini.

Seterusnya, kami ke Musee Lourve. Kami beranggapan Paris Hilton meminati seni, memandangkan dia juga terlibat dalam bidang seni (seni apa? seni suara ke seni badan?). Tapi, sekali lagi pencarian berakhir dengan kekecewaan. Mungkin Paris tak heran sangat tengok gambar lukisan atau patung bogel, sebab dia sendiri pun boleh beraksi sedemikian!


Kami dah buntu, puas dicari tapi Paris Hilton belum dijumpai. Dari Institute Music, Pont Neuf dan merata-rata lagi kami cari tapi ....hampa. Di Moulin Rouge pun dia tak ada. Agak-agaknya Paris Hilton dah tak laku dah dalam membuat persembahan tarian selak-selak kain di Moulin Rouge. Selepas itu, kami ke kedai makan Turki. Makanannya agak murah tapi sedap. Dalam hati saya masih mengharapkan Paris Hilton akan muncul di kedai ini. Mana tahu, dia dah sengkek, dan terpaksa makan kat kedai macam ni. Tapi bayang dia pun tak ada. Nampaknya dia masih kaya; mungkin hasil royalti penjualan gambar dan video.


Akhirnya kami putus asa. Balik semula ke tempat penginapan di La Defense. Dalam perjalanan ke apartment kami, saya ternampak Hotel ini. Saya agak pasti mesti Paris menginap di hotel ini. Saya cuba masuk, tapi tak dibenarkan oleh pengawal keselamatan di situ. Sebabnya, bila tengok penampilan saya, mereka tak percaya yang saya menginap di situ. Mana taknya. Jaket dari PRIMARK (kalau di Malaysia, sama dengan jaket dari Giant Hypermarket), jeans Levi's Rantau Panjang, kasut Adidas (ori tapi ebay).


Nak buat macam mana. Sudah ditakdirkan yang saya tak menemui Paris Hilton secara 'live'. Yang boleh hanyalah secara maya sahaja, dengan menaip "Paris Hilton" dan tekan 'search'.

08 April 2009

Orang Malaysia Lebih Hebat!


Menonton aksi 'stunt' (rujuk gambar di atas), penonton di Disneyland Paris bersorak dan memberi tepukan gemuruh. Saya pandang ke sekeliling. Reaksi mereka memang kekaguman. Kagum yang ikhlas, bukan kagum buat-buat untuk mengambil hati 'stuntmen'.

Saya terfikir, kalau mereka ke Malaysia dan menonton aksi Mat Rempit yang jauh lebih ngeri daripada ni, apa reaksi mereka?

Aksi 'stunt di Disney ni agak membosankan. Mungkin disebabkan aksi ni dibuat di Disneyland (yang dipenuhi oleh kebanyakannya kanak-kanak riang), aksi 'stunt' yang ditunjukkan ala kadar sahaja.

Nampaknya saya kena ke studio-studio filem di Amerika (contoh: Universal Studios) untuk melihat aksi-aksi yang betul-betul 'stunt'. Setakat ni hanya mampu 'jeles' tengok gambar kawan-kawan di Amerika yang dah sampai di studio tersebut ('Jeles' betul-betul ni, bukan'jeles' buat-buat untuk ambil hati).

03 April 2009

Pengaruh Drama Melayu

Dalam drama Melayu (slot Drama Swasta, Cerekarama, Spektra dsb), kalau pelakonnya ada bisnes di luar negara mesti di London atau Paris, atau kalau melancong pun di London atau Paris juga. Macam tak ada dah tempat lain di luar negara.

Jangan berangan la nak tengok watak-watak dalam drama Melayu yang berniaga atau melancong di tempat-tempat tempelan/terpencil seperti:

1. Tasmania
2. Tohoku
3. Ghent
4. Bergen
5. Edmonton
6. Ithaca (New York mungkin ada, tapi bukan Ithaca)
7. Cardif (nanti 3-4 hari lagi ada yang terasa bila sebut pasal Cardif)
8. Sheffield
9. Dundee
10. St Andrews (juga)

Sebagai peminat tegar, tidak dapat tidak saya memang terpengaruh untuk melawat kedua-dua tempat ini (nak berbisnes mungkin tidak). London telah berjaya dilawati pada bulan 9 dan 11 tahun lepas. Dan minggu lepas, 26 Mac 2009 berjaya menjejakkan kaki ke Paris pula. Bila tengok drama lepas ni, tak perlu lagi berangan-angan.
Terima kasih kepada bro Rusdi (UK la sangat kan ..tiba2 sebut bro, padahal duk panggil Abe Dee!) kerana mengajak untuk 'join' sekali percutian dia sekeluarga, dan lebih penting memberitahu tentang tiket murah RyanAir yang saya berjaya beli 5 minit sebelum promosi tutup.

Selain itu, puas hati juga bila dah sampai di Paris. Lepas ni boleh la 'buat modal' bila bersembang. Jika ada rakan atau saudara yang tanya:

"Mu gi jjale mmano doh?"

Kalau jawapan yang diberi adalah London atau Paris, mesti orang yang bertanya akan menunjukkan riak wajah kagum atau 'jeles'. Tapi jika jawapan yang diberi adalah 10 destinasi tempelan seperti di atas, mereka mungkin akan terdiam dan sekadar bertanya dalam hati; adakah itu nama tempat, atau nama-nama 'shopping complex' atau muzium.