
Dari segi kekerapan mengemaskini entri, blog boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan utama:
1. Blog yang dikemaskini setiap hari dan kadang-kadang sampai beberapa kali sehari sehinggakan pembaca tidak sempat membacanya. Tulis komen pun sekadar ayat-ayat umum seperti "wah, best-nya", "suke ..suke" dll.
2. Blog yang dikemaskini sekali-sekala secara agak konsisten. Mungkin 2 kali seminggu atau 5-6 kali sebulan.
3. Blog yang jarang-jarang dikemaskini. Penulis-penulis blog ini biasanya akan 'post' entri baru dalam bulan Januari dan seterusnya membiarkan blog mereka sehinggalah bulan Jun pun belum tentu lagi akan dikemaskini. Malah mereka juga kadang-kadang tidak membalas pun komen-komen dari pembaca walau dengan sekadar ":P" atau "huhu".
Saya rasakan blog saya berada dalam kategori 2. Tapi baru-baru ini saya sengaja membiarkan ianya seolah-olah masuk ke kategori ke-3.
Sebabnya?
Teringin juga untuk menampakkan diri sibuk yang amat (mengalahkan Perdana Menteri) dengan tidak mengemaskini blog dan juga tidak langsung membalas komen dari orang yang datang ke sini.
Saya nak 'hebahkan kepada dunia' bahawa saya adalah insan yang sibuk. Saya nak ramai orang jenguk blog ni akan kecewa sebab tak ada entri terkini. Saya nak ramai (gila) orang tertanya-tanya bila nak 'update'. Sebab itulah tiada sebarang entri dalam tempoh melebihi 10 hari. Saya juga 'tidak sempat' untuk membalas komen kononnya sebab sibuk sangat.
Tapi realitinya - sesibuk mana sekalipun semasa belajar di luar negara, percayalah, ada banyak masa untuk buka blog, facebook, YM dsb. Apa lagi yang boleh dibuat apabila masa lapang? Orang yang dah berkahwin dan dah ada anak (yang tentunya lebih sibuk) pun sempat 'update' blog. Inikan pula orang bujang. Memang sempat sebenarnya untuk tulis komen selagi berada di sekitar kampus (nak 'post' entri baru mungkin tak sempat kalau sibuk sangat). Antara masa yang betul-betul sibuk dan tidak sempat untuk jenguk blog adalah semasa 'travel' (cth: dari UK ke Paris), 'sampling cruise', balik cuti di Malaysia, atau semasa tidak berada di kampus untuk kerja luar.
Namun ternyata telahan saya silap. Ya, memang ada yang tanya. Seramai 9 orang semuanya (melalui YM, Skype, email dan juga secara Live n Unplugged). Tapi sebenarnya saya menjangkakan lagi ramai yang akan bertanya. Saya sangat optimis lebih dari 1000 orang yang akan tanya, sebab saya dah mula perasan blog ni sangat popular seperti blog Che Det. Saya dah mula nak riak. Saya perasan (koya best) ramai rakyat Malaysia yang ternanti-nantikan entri baru blog ini.
Mujurlah kejadian ini berjaya mengelakkan saya dibuai dalam perasaan riak yang membuak-buak. Kini saya berpijak di bumi nyata.
Penafian: Entri ini tidak merujuk kepada mana-mana blog yang ada dalam "Blog Kroni & Rakan" di sebelah. Ianya telah dikarang dengan sehabis daya penulis untuk menceritakan perasaan, pengamatan dan telahan penulis dalam tempoh 10 hari lepas. Kalau ada yang merasakan demikian, mungkin anda cuba memanipulasikan ayat-ayat entri ini untuk mewujudkan ketidakselesaan kepada diri sendiri atau individu lain.
Nota kaki bangku (bukan kaki skodeng):
Tangki Riak digunakan dalam eksperimen untuk memerhatikan pergerakan Gelombang Satah dan Gelombang Membulat (Fizik SPM Tingkatan 4)