24 February 2009

Di sini kami tak perlu beli stokin

Sabtu lepas merupakan kali pertama saya bermain boling di sini. Memang agak teruja sebab dah lama tak main, dan juga boleh lupakan sementara tekanan di 'lab' (tapi bukan tekanan sebab tak boleh peluk bukan muhrim).

Minat juga sukan/riadah ni. Tapi tak lah kemaruk sangat seperti rakan-rakan di Terengganu
(nota: di Terengganu pusat boling baru dibuka pada tahun 2008, itu yang membuatkan ramai rakan saya di sana yang dah-macam-takde-mende-lain-nak-main-selain-boling :D)

Tak perlu hayun kuat, cukup sekadar tolakan manja.


Kalau di Malaysia, perbuatan yang paling tak disukai bila nak main boling adalah membeli stokin secara paksarela. Walaupun 2 ringgit, tapi duit juga ..kan?. Cukup untuk beli Nasi Berlauk Ayam Kampung dah tu.

Tapi, di UK, tiada paksaan untuk membeli stokin. Syukur kerana dapat mengelak daripada amalan membazir.

19 February 2009

Memeluk bukan muhrim secara berlapik


Selain tekanan dengan bebanan kerja. Tekanan lain masa buat PhD adalah bila rakan sebilik (bilik di makmal ..bukan di rumah) menangis dek kerana tak tahan menanggung tekanan.

Tadi dah kali ke-4 rasanya berlaku 'drama' tersebut di bilik saya. Inilah susahnya bila berkongsi dengan pelajar wanita.

Seperti biasa, bila ada yang menangis, datangla seorang lagi memujuk sambil memeluk.

Macam pagi tadi, bila Laura menangis, datangla Paul memujuk dan memeluk dia. Sayu. Dan juga boleh rasa tempias tekanan yang dirasai Laura.

Saya pun bangun. Tapi terus Paul menahan seraya berkata:

"Eh, kau mana boleh peluk dia!"

"Laa ..mana ada, aku nak bukak suis 'heater' la ..sejuk" ...saya balas sambil menekan suis 'heater'. Fuh, nasib baik suis tu belum dibuka ..kalau tak ...

Ok. Nasihat kepada pelajar perempuan yang sedang/akan buat PhD di luar negara:

1. Janganla mudah sangat menangis kalau tertekan pun.
2. Kalau nak menangis jugak, tunggulah bila kat rumah.
3. Kalau rumah jauh, pergilah ke luar ..lari-lari manja ..cari batu besar, dan nangislah kat situ (macam tipikal dalam filem).
4 ..dan kalau nak nangis jugak di makmal / pejabat, nampak sangat korang sengaja nak suruh orang lelaki peluk.

15 February 2009

Merungkai Misteri Snow Man & Snow Woman

Kenapa saya amat menantikan salji turun?


1) Kali pertama (30 November 08) melihat salji turun di St Andrews, saya tak sempat menikmatinya sebab terpaksa bergegas ke stesen keretapi jam 6.30 pagi. Untuk ke makmal di Lowestoft.


2) Peluang kali ke-2 (2 Januari 09), masa tu saya di Berlin. Salji turun lebat. Tapi sekali lagi saya menarik beg untuk balik ke Scotland. Jam 6.30 pagi juga. Sampai di Scotland, tiada salji langsung.


Semenjak dari hari tersebut, saya memang ternantikan salji turun sekali lagi. Untuk menikmati kebesaran ciptaan Allah ini dengan lebih lama. Tapi 3 hari lepas (12 Februari 2009), akhirnya penantian berakhir. Sama seperti apa yang orang lain rasa, memang teruja dan kagum. Walaupun sehari sahaja salji turun di St Andrews, tapi tetap puas hati. Sebenarnya, pada hari tersebut saya sepatutnya menghadiri seminar "Darwin 200 in St Andrews". Tapi, saya pergi sekejap sahaja. Lupakan Darwin dengan teori mengarutnya. Main salji lagi baik.




Berkenaan misteri di sebalik 'Snow Man' dan 'Snow Woman' ..ramai yang tertanya-tanya .."Apakah perbezaan antara Snow Man dan Snow Woman?" Mereka kelihatan sama kalau tak dipakaikan pakaian (i.e tudung dan topi).


Jawapannya: SnowBalls

10 February 2009

Majlis Lelongan Awam

Hari ni dari pagi sampai petang, saya menghadiri kursus Gradskills: "The Writing Process" dan "Editing Your Own Writing" ...(nampak sangat lemah kan?).

Sesi kedua agak menarik. Kami diletakkan berpasangan dengan pelajar yang dalam bidang agak (agak) sama. 'Pasangan' saya adalah awek dari Portsmouth, England. Kami dikehendaki membuat 'proofreading' hasil tulisan 'pasangan' masing-masing. Seronok juga bila dapat cari kesalahan dalam tulisan 'native speaker'. Tambahan pula dia buat kajian berkenaan 'dolphin' dan tentunya melibatkan Sonar dan Prinsip Akustik Bawah Air. Boleh la saya fahami dan cari apa-apa kesalahan. Kalau dia buat pasal 'protoemic' ke, 'gene' ke, atau apa-apa bidang yang terlalu berunsur ke-mikrobiologi-an, sah sah la saya susah nak faham.

Tapi sesi pertama memang bosan. Sebab cikgu tersebut ajar benda yang terlalu asas. Ya, saya tahu, asas dalam menulis adalah membuat draf terlebih dahulu; dan yang terbaik adalah membuat peta minda (memang dah agak mesti akan keluar bab peta ni). Dah lama dah diajar membuat peta minda, sejak di sekolah lagi ..dah macam-macam kursus "Teknik Belajar" saya dipaksa hadir, semuanya menekankan aspek peta minda. Tapi, sampai sekarang saya malas dan tak pandai buat peta minda, sama ada untuk menulis mahupun untuk membaca nota.


Patutla dalam dalam tahun 1999, saya dilelong di majlis lelongan antara dekan-dekan IPTA, dan kemudiannya terdampar di pesisiran pantai Mengabang Telipot (a.k.a UPMT, nama UMT masa tu). Walaupun UPMT tiada dalam pilihan, hatta pilihan ke seribu sekalipun.

05 February 2009

Teknik Mewarna Rambut

Ramai yang tanya, macam mana saya warnakan rambut (rujuk entri di bawah). Ada yang kata guna 'dye' la ..inai la ..mahupun air berkarat. Salah semuanya, saya guna jenama Adobe Photoshop. Senang. Nak warna apa? merah, kuning atau pink? Semua boleh. Dan boleh tukar bila-bila masa tanpa melibatkan kos yang tinggi. Dan lebih penting, bila nak balik ke Malaysia boleh tukar balik ke warna hitam. Tak la terkejut orang kampung ..kan?


Nak buat rambut panjang pun boleh. Sekejap je. Tanpa perlu bergelumang dengan kutu kepala. Tapi, tak la secantik rambut panjang yang ori.